Berita Harian

Sotong dapat permintaan tinggi negara jiran

-

Laut China Selatan: Sotong di perairan negara ini menjadi buruan utama nelayan Vietnam dan dianggap sebagai ‘emas laut’ kerana hasil tangkapan membolehka­n mereka mendapat keuntungan besar berikutan permintaan tinggi di negara jiran.

Disebabkan itulah, dalam tempoh seminggu berada di perairan Malaysia, nelayan asing bertungkus-lumus melakukan aktiviti penangkapa­n dan mampu menuai lebih 2,000 kilogram sotong gred tinggi.

Oleh kerana hasil tangkapan berkualiti tinggi dan mampu dijual dengan harga mahal, ia tidak didaratkan di jeti tempatan sebaliknya akan diseludup masuk ke negara jiran.

Harga ditawarkan di pasaran luar khususnya di Vietnam mencecah RM100 sekilogram berbanding pasaran tempatan, sotong gred A dijual pada harga antara RM40 hingga RM50 sekilogram.

Keringkan, bungkus di kapal

Hasil tangkapan itu akan dikeringka­n di atas kapal dan difahamkan, itu adalah antara tugas penting awak-awak asing di atas kapal, yang akan membungkus untuk diambil oleh pihak lain yang menggunaka­n kapal besar.

Disebabkan itu, setiap kapal nelayan asing memerlukan tenaga kerja antara 15 hingga 20 orang.

Wartawan dan jurugambar BH yang berada di atas kapal Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia Wilayah Timur KM Pekan turut melihat sotong kering sama ada yang siap dibungkus atau dalam proses pengeringa­n.

Mereka menjemur sotong itu di atas kapal di tengah laut atau menggunaka­n kipas besar mahupun dikeringka­n di atas enjin kapal sebelum dibungkus untuk diseludup.

Kegiatan itu menyebabka­n rakyat Malaysia beranggapa­n perairan negara tidak lagi mempunyai sotong berkualiti tinggi, namun sebenarnya ia tidak sampai ke pasaran tempatan kerana diseludup keluar.

Mengulas perkara itu, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi, berkata sejak 10 tahun kebelakang­an ini, trend import komoditi berasaskan sotong menunjukka­n peningkata­n berterusan berbanding eksport yang kian menurun.

“Terkini kami merekodkan 29,000 tan sotong bernilai RM277 juta dieksport dalam bentuk segar dan sejuk beku, manakala import pula berjumlah 31,000 tan dengan nilai RM290 juta. Situasi ini akan menyebabka­n defisit dagangan komoditi berasaskan sotong.

“Hasil tangkapan daripada kegiatan menangkap sotong secara haram tidak dilaporkan dan tidak mengikut peraturan (IUU) di Selat Melaka adalah 991 tan sehingga 1,383 tan setahun, di utara Pantai Timur sebanyak 3,646 sehingga 4,140 tan metrik setahun, manakala di Sarawak, 600 hingga 3,335 tan setahun,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia