Berita Harian

Peluang menang RM10,000 simpan SSPN

Hanya 9 peratus murid buat simpanan, dapat insentif khas RM50

- Oleh Syed Azwan Syed Ali

Hanya 40,000 murid Tahun Satu di seluruh negara menerima Insentif Khas Geran Sepadan percuma RM50 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 30 September lalu membabitka­n peruntukan RM2.02 juta.

Jumlah itu jauh daripada sasaran 500,000 murid Tahun Satu yang layak menerima peruntukan keseluruha­n RM25 juta Insentif Khas Geran Sepadan yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Deposit tambahan RM50

Bermula 1 Januari lalu, ibu bapa atau penjaga yang membuat simpanan untuk anak mereka (murid Tahun Satu) pada 2017 di sekolah bantuan penuh kerajaan, menerima deposit tambahan percuma RM50 daripada PTPTN bagi simpanan terkumpul RM50 dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, berkata angka insentif yang sudah diterima itu mewakili sembilan peratus daripada keseluruha­n 500,000 murid Tahun Satu yang layak menerima insentif geran sepadan.

Katanya, ibu bapa bukan hanyaberpe­luang mendapat tambahan RM50 bagi akaun SSPN anak mereka selepas menyimpan minimum RM50, malah berpeluang memenangi hadiah wang tunai melalui Cabutan Bulanan sebanyak RM10,000 sehingga Disember ini.

“Ibu bapa hanya perlu deposit minimum RM50 dan dapat tambahan RM50 (daripada kerajaan melalui Insentif Khas Geran Sepadan).

“Ada baki dua bulan lagi, bermakna masih berpeluang memenangi RM10,000, selain hadiah sagu hati,” katanya kepada media pada Program Jom Simpan Bersama PTPTN di Sunway Velocity Mall, Cheras, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Prof Madya Datuk Dr Toh Kian Kok yang turut menyaksika­n pemberian sumbangan RM5,000 tajaan Perfect Treats Sdn Bhd kepada 100 murid Tahun Satu daripada tujuh sekolah di Parlimen Cheras.

Setiap murid menerima deposit RM50 bagi simpanan pendidikan SSPN dan secara langsung layak menerima RM50 simpanan tambahan menerusi insentif itu.

Pupuk budaya menabung

Mastura berkata, PTPTN kini memupuk budaya menabung dalam kalangan masyarakat sejajar 2017 diisytihar­kan Tahun Penabungan.

Ia bertujuan memastikan generasi muda mempunyai tabungan pendidikan mencukupi untuk melanjutka­n pengajian.

Katanya, usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membudayak­an sikap menabung dengan memperuntu­kkan RM250 juta kepada 500,000 kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun menabung dalam SSPN menerusi Bajet 2018.

“Simpanan RM500 akan dimasukkan secara percuma sekiranya jumlah simpanan yang dibuat pada 2018 sekurang-kurangnya RM500.

 ??  ?? Mastura Mohd Khalid
Mastura Mohd Khalid

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia