Berita Harian

Lelaki rempuh rumah dengan lori

-

Dungun: Tanpa diketahui hujung pangkalnya, seorang lelaki mengamuk merempuh sebuah kediaman dan kereta milik sebuah keluarga dengan lori di Rumah Murah Nibong di sini, malam kelmarin.

Tindakan lelaki tidak dikenali itu menceroboh dan merosakkan barangan dalam rumah berkenaan mengejutka­n keluarga pemiliknya.

Menantu pemilik rumah, Khairul Anuar Ghazali, 31, bersama isteri, ibu mentua dan ahli keluarga lain menghadiri kenduri di Kemaman ketika kejadian jam 7.30 malam itu.

Beliau terkejut apabila dihubungi beberapa jiran yang memaklumka­n kejadian itu lalu bergegas pulang ke rumah.

“Jiran kami memberitah­u, lelaki itu memandu lorinya dan merempuh pagar rumah tanpa sebab. Dia turut memecahkan cermin lori dan kereta yang diletak dalam kawasan rumah.

“Kami sekeluarga tidak kenal lelaki itu. Saya amat terkejut apabila mendapati lori saya dan kereta biras turut dirosakkan,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dungun kira-kira jam 9 malam.

Positif ganja

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Ahmad Zailani Yaacob, berkata suspek ditahan sejurus pihaknya menerima laporan.

Katanya, ujian air kencing mendapati suspek berusia 40 tahun itu positif ganja dan motif kejadian masih disiasat.

“Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai penghantar kelapa datang dari Kuantan, Pahang untuk menghantar bekalan. Mungkin berang tidak menemui lokasi sepatutnya, suspek yang berada di bawah pengaruh dadah mengamuk di rumah mangsa,” katanya.

Siasatan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah.

 ?? [FOTO ROSLI ILHAM/BH] ?? Bahagian hadapan rumah rosak selepas dirempuh lori dipandu lelaki mengamuk di Rumah Murah Nibong, Dungun, semalam.
[FOTO ROSLI ILHAM/BH] Bahagian hadapan rumah rosak selepas dirempuh lori dipandu lelaki mengamuk di Rumah Murah Nibong, Dungun, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia