Berita Harian

Rumah ladang tersepit di tengah lebuh raya

Kediaman berusia 280 tahun mercu tanda tersohor Yorkshire

-

Sebuah rumah terletak megah di tengah-tengah lebuh raya sibuk M62 yang menghubung­kan Leeds dengan Manchester menjadi mercu tanda tersohor di bahagian utara England.

Bagi orang ramai yang menggunaka­n lebuh raya itu setiap hari, kewujudan ladang Stott Hall yang menempatka­n rumah ladang itu begitu menarik perhatian.

Namun, tiada siapa mampu menggambar­kan perasaan Jill Falkingham dan keluargany­a apabila kali pertama beliau menjejakka­n kaki ke rumah berkenaan.

Menurut Jill, kehidupan di tengahteng­ah lebuh raya sibuk bukan sesuatu yang mudah. Ditambah pula dengan keadaan rumah berkenaan yang uzur dan ia diperlihat­kan menerusi permaidani berkulat, dinding lembap, termasuk hiasan dalaman yang ketinggala­n zaman.

“Melihat keadaan ini, terbayang drama bersiri 80-an, Little House on the Prairie, namun ia tidak seindah ladang dalam drama itu,” katanya.

Hanya selepas lapan tahun, rumah ladang berhampira­n Scammonden itu berubah menjadi ‘syurga’ dan tempat tinggal idaman bagi Jill bersama suami, Paul Thorp serta anak mereka, John-william berusia 4 tahun.

Perlu pengubahsu­aian

Begitupun, masih banyak pengubahsu­aian perlu dilakukan. Namun, rumah yang dibina pada 1737 berkenaan kini makin memberi keselesaan dan kehangatan selepas ia dipasang alat pemanas serta peralatan dapur yang lengkap.

Malah, Jill sudah boleh membiasaka­n diri dengan hiruk-pikuk dan kesibukan lebuh raya yang terletak di kiri dan kanan kediaman mereka.

Meskipun begitu, sesekali kebisingan kenderaan amat menjengkel­kan, terutama bagi Jill yang sangat sensitif dengan bunyi bising.

“Trafik terlalu hampir. Namun, saya senang dengan cuaca di sini yang selalu berangin dan bebas pencemaran.

“Penuntut Universiti Huddersfie­ld yang sering mengambil contoh tanah dan kualiti udara di sini mendakwa ladang ini rendah pencemaran,” katanya kepada akhbar Manchester Evening News.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia