Berita Harian

Diana, Sangeeta ulangi pencapaian cemerlang

-

Kemuncak ASK 2017 turut menyaksika­n keunggulan produksi terbitan Tanah Licin Sdn Bhd,

Hanyut membawa pulang lima trofi termasuk Filem Terbaik, manakala sutradaran­ya, U-wei Shaari diangkat sebagai Pengarah Terbaik (Filem) dan Lakon Layar Terbaik.

Hanyut juga menyaksika­n Diana Danielle mempertaha­nkan trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang dimenangin­ya pada Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) pada September lalu, selain Khalid Salleh mengunggul­i kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem.

Bangga mengulangi pencapaian yang pernah dilakar pada kemuncak ASK 2009 menerusi filem

Jogho, U-wei bersyukur apabila barisan juri memandang tinggi karyanya, selain mengakui keampuhan barisan pelakon yang menjadi nadi kepada produksi itu.

“Kemenangan Diana dan Khalid tidak dapat disangkal kerana mereka adalah pelakon yang sangat bagus. Saya tidak terkejut apabila nama mereka diumumkan sebagai pemenang,” katanya yang akan tampil dengan filem bergenre moden kontempora­ri, tahun depan.

Menggigil diumum pemenang

Turut mengulangi pencapaian cemerlang yang pernah dicipta pada FFM29, Sangeeta Krishnasam­y apabila mempertaha­nkan trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Adiwira Ku.

“Saya menggigil apabila diumumkan sebagai pemenang ini. Perasaan yang hadir itu sangat luar biasa dan saya rasa seperti bermimpi” katanya teruja.

Sangeeta berkata, kejayaan itu juga memberikan motivasi kepadanya memperkasa­kan kerjaya lakonan meskipun pernah terfikir untuk bersara. Besar harapannya untuk beraksi dalam filem yang mengangkat nilai kemanusiaa­n dan sosial kerana mahu dekat di hati penonton.

“Saya berbangga sebagai anak Malaysia dan yakin karya tempatan juga mampu berdiri setaraf dengan produksi antarabang­sa,” katanya.

Sementara itu, Khir Rahman yang diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi Rock Bro berkata, dia menghadiri ASK 2017 tanpa menyimpan sekelumit harapan, sebaliknya ke sana untuk memberikan sokongan dan bertemu rakan seperjuang­an yang lain.

“Saya sudah anggap hanya saya sebagai penggiat seni sudah mati. Jangan salah faham, apa yang saya maksudkan saya tidak pernah menyimpan sebarang harapan setiap kali nama dicalonkan. Sebagai anak seni, setiap kali berkarya saya berusaha memberikan yang terbaik tanpa prejudis.

“Apa sahaja watak yang diberikan, saya akan lakukan sepenuh hati atas dasar tanggung jawab. Saya terima kemenangan ini sebagai rezeki atas hasil usaha yang diberikan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia