Berita Harian

Bukti Kaka masih ada

Akur putaran industri, anak saudara Ratu Rock tercabar cari formula pertahan nama

- Oleh Muhamad Fairoz Azizan

“Saya tidak boleh berputus asa kerana setiap penyanyi akan ada masanya. Semua yang saya lakukan ini bukan 100 peratus untuk kepuasan diri, sebaliknya saya turut memikirkan kehendak peminat.

“Jika ada yang mengandaik­an saya tersalah pilih genre, saya sebaliknya berpuas hati dengan kualiti lagu yang dirakamkan. Selagi saya yakin melangkah, jalan pasti ada. Mungkin hari ini lagu yang dihasilkan kurang mendapat perhatian peminat, tetapi esok lusa tiada siapa tahu.

“Lihat keajaiban yang berlaku kepada lagu Apa Khabar, kerjasama Joe Flizzow dan Sonaone. Tidak pernah kita membayangk­an lagu hip-hop akan diiktiraf pada pertanding­an berprestij seperti Anugerah Juara Lagu. Saya hanya perlu percaya diri dan berusaha kerana rezeki itu luas selagi tidak berputus asa,” katanya.

Kental pegang pendirian

Mengambil semangat juang penggiat genre hip-hop, Kaka yang ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Kembali di Petaling Jaya baru-baru ini, kental berpegang kepada pendiriann­ya.

Sebagai penyanyi berprinsip, Kaka tidak mahu menjadi lalang dan bertukar-tukar genre hanya kerana kecewa apabila percubaan tidak membuahkan hasil diharapkan.

“Peminat sudah sebati dengan personalit­i dan genre muzik yang saya perjuangka­n. Jika sering beralih arah, mereka mungkin keliru dengan haluan yang dituju. Tetapi, saya juga perlu mencabar diri kerana ingin dikenali sebagai versatil.

“Saya tidak boleh berubah terlalu drastik. Saya lakukannya secara perlahan-lahan untuk memperliha­tkan kematangan diri,” katanya.

Berbicara mengenai Kembali, Kaka berkata, lagu itu masih mengekalka­n genre pop moden yang sudah sebati dengannya. Meskipun minatnya terarah kepada sentuhan balada yang disuntik sedikit elemen rock, Kaka selesa dengan genre yang diperjuang­kannya.

“Lagu ini menjadi bukti saya masih di sini. Tidak dinafikan, sebelum ini saya biarkan diri dibelenggu tanggapan negatif ramai hingga saya takut ke depan. Ada kalanya saya terfikir, mampukah saya bertahan dalam industri?

“Alhamdulil­lah, ramai yang berada di sekeliling yang sentiasa memberikan saya kata semangat,” katanya yang sedang mengumpul material untuk album penuh yang dijangka memuatkan lapan lagu, termasuk empat sentuhan terbaru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia