Berita Harian

Norza tak bimbang prestasi Chong Wei

- Oleh Fabian Peter

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak terlalu bimbang dengan kemerosota­n prestasi dialami bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Sebaliknya, dia mahu fokus tidak lagi terarah kepada pemain berusia 35 tahun itu kerana ia hanya akan menambah tekanan kepada dirinya.

Selepas tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos lalu, Chong Wei mengalami kekalahan di pusingan kedua Terbuka Denmark dan pusingan pertama Terbuka Perancis bulan lalu.

Norza yang menjadi tetamu jemputan pada final Piala SMC (Sri Murugan Centre), semalam berkata: “Seperti yang saya katakan sebelum ini, badminton Malaysia bukan hanya mengenai Chong Wei seorang. Dia seorang pemain yang hebat dan sudah banyak membuat jasa kepada negara.

Beri dia masa

“Biar dia tenang dan berikan dia masa. BAM akan terus memberi sokongan kerana ada beberapa kejohanan besar tahun depan termasuk Piala Thomas. Dia masih pemain perseorang­an lelaki terbaik negara,” katanya.

Norza yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Kejurulati­han dan Latihan (C&T) berkata beliau ada bercakap dengan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu susulan kekecewaan dialaminya.

“Saya bercakap dengan dia dan bertanya sama ada dia okey. Saya fikir dia baik. Kami sedang melalui proses peralihan terutama selepas peletakan jawatan Morten Frost Hansen (pengarah teknikal). Jadi berikan kami sedikit masa untuk menyelesai­kannya dengan pemain dan jurulatih,” kata Norza.

Norza turut optimis Chong Wei akan beraksi pada Terbuka China yang bermula 14 hingga 19 November ini dan Terbuka Hong Kong (21 hingga 26 November).

“Tiada sebarang berita yang mengatakan dia tidak akan beraksi dalam dua kejohanan itu. Saya fikir dia sedang melakukan persiapan,” kata Norza yang memuji SMC atas usaha menganjurk­an edisi kedua kejohanan antara sekolah Tamil bawah 12 tahun.

Dalam aksi final yang berlangsun­g di Stadium Badminton Kuala Lumpur, naib juara tahun lalu, SJKT Kajang menewaskan SJKT Bukit Mertajam 2-1 untuk dinobatkan sebagai juara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia