Berita Harian

JDT raja bola sepak Malaysia

Skuad Harimau Selatan membuktika­n mereka adalah raja bola sepak negara ini apabila memenangi Piala Malaysia 2017 mengatasi penyandang juara,kedah pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi

- Oleh Aziman Rosdi, Firdaus Hashim, Zulfaizan dan Syafiq Aznan

Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktika­n mereka raja bola sepak tanah air ketika ini apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Kedah 2-0 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Dua gol pada setiap babak menerusi jaringan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera memastikan trofi itu kembali menuju ke selatan tanah air selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.

Gelaran itu melengkapk­an kabinet trofi JDT sejak ditubuhkan pada 2013 selepas merangkul Liga Super 2014, 2015, 2016,2017, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015, 2016 dan Piala AFC 2015.

Final yang disaksikan 80,000 penyokong ini ibarat pertemuan buku dengan ruas apabila JDT mahu memburu gelaran kedua musim ini selepas meraih kejuaraan Liga Super kali keempat berturut-turut.

Helang Merah pula mengintai trofi ketiga selepas menewaskan JDT pada perebutan Piala Sumbangsih sebelum menjulang Piala FA dengan mengecewak­an Pahang di pentas akhir 3-2.

Tersentak gol awal

Dalam aksi final malam tadi, Kedah yang dibimbing Nidzam Adzha Yusof tersentak dengan gol seawal minit ketiga menerusi tandukan Aidil selepas menerima bola sepakan sudut kapten pasukan, Safiq Rahim.

Strategi jurulatih JDT, Ulisses Morais memasukkan Ahmad Hazwan Bakri mengambil tempat penjaring terbanyak Liga Super, Mohamad Ghaddar nyata memberi impak dalam permainan.

Hazwan bekas wira Piala Malaysia skuad Selangor 2015 mencipta peluang kepada Natxo Insa dan Gabriel Guerra, namun ketangkasa­n penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim berjaya menyelamat­kan keadaan.

Satu-satunya peluang terbaik dicipta Kedah hadir pada minit ke-26 namun tolakan penyerang Ken Ilso selepas penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan menerpa keluar berjaya dikeluarka­n S Kunanlan.

Kedah yang memburu kejuaraan keenam selepas 1990,1993,2007,2008 dan 2016 mula mengasak pada separuh kedua dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Baddrol Bakhtiar sekadar singgah di palang.

Tapi anak buah Morais menyentap semangat pasukan lawan dengan gol kedua pada minit ke-63 apabila pemain import Gonzalo Cabrera yang menerima hantara Hazwan melepaskan sepakan menewaskan Ifwat.

Tuah nyata bukan milik Kedah apabila sepakan Baddrol pada minit ke-67 terkena tiang sekali gus memberi kegembiraa­n buat Johor DT yang kecewa tewas pada final 2014 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi terikat 2-2.

Sementara itu, Cabrera dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

 ?? [ FOTO HAFIZ SOHAIMI / BH ] ??
[ FOTO HAFIZ SOHAIMI / BH ]
 ?? [ FOTO OSMAN ADNAN / BH ] ??
[ FOTO OSMAN ADNAN / BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia