Berita Harian

‘Ada apa pada gelaran’

-

Assalamual­aikum Tan Sri, Puan Sri, Datuk Seri, Datin Seri, Datuk dan Datin serta pembaca yang saya muliakan. Begitulah tingginya penghormat­an masyarakat kita terhadap nilai pangkat dan gelaran.

Hingga ia dengan secara semula jadi tersemat dalam pembuka kata ucapan, kad jemputan kahwin, termasuk khidmat pesanan ringkas hari raya pun kadang-kadang pangkat dan gelaran didahuluka­n sebelum ucapan. Status pangkat dan gelaran ini diambil serius oleh masyarakat kita sehinggaka­n jika tidak disebut atau terlupa menyebut pangkat dan gelaran boleh cetus kontrovers­i.

Gelaran di negara kita ini membawa status tertentu dalam strata sosial masyarakat, secara semula jadi apabila seseorang itu memegang atau membawa satu pangkat dan gelaran, orang awam akan memberikan penghormat­an yang sesuai kepadanya. Pangkat dan gelaran adalah anugerah kepada seseorang atas jasa, reputasi atau hasil kerja mereka dan selaku rakyat yang bernaung di bawah panji Raja dan Sultan, sudah tentu kita akan menghormat­i individu yang mendapat anugerah daripada pemerintah kita.

Namun, ada sesetengah individu yang tidak bertanggun­gjawab, kerana mahukan glamor dan status yang diberikan sanggup menipu dengan memberi gelaran serta pangkat palsu kepada diri mereka sendiri. Ada pula sampai berbelanja berpuluh ribu ringgit untuk membeli anugerah yang tidak diiktiraf dari luar negara hanya kerana berkehenda­kkan gelaran di hadapan nama mereka.

Namun, hari ini saya bukan hendak mempersoal­kan mengenai status pangkat atau gejala penipuan gelaran di Malaysia ini, tetapi lebih kepada polemik dalam masyarakat kita yang melihat rasa hormat atau penghormat­an itu hanya boleh datang daripada gelaran dan pangkat, seterusnya timbul satu kegilaan dalam mengejar pangkat dan gelaran.

Tiada gelaran, tetapi tetap disegani masyarakat

Ada pepatah Inggeris mengatakan penghormat­an itu bukan dipinta tetapi sesuatu yang harus diperolehi - Respect is earned not asked.

Namun begitu, ramai dalam kalangan kita lupa akan perkara ini. Cuba kita lihat dua nama ini Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ungku Abdul Aziz. Dua individu yang cukup dikenali dan disegani orang ramai tanpa membawa sebarang gelaran dan kebesaran.

Ungku Abdul Aziz, sang intelektua­l yang juga tokoh Maal Hijrah dan Profesor Diraja lebih selesa dengan gelaran Pak Ungku berbanding dengan nama kebesaran, gelaran atau pangkat. Adakah anda rasa anak muda di Malaysia ini kurang rasa hormat mereka kepada Khairy Jamaluddin kerana tidak seperti menteri yang lain dia tidak mempunyai sebarang gelaran atau adakah berlaku sebaliknya?

Rata-rata anak muda di Malaysia cukup mengidolak­an dan menghormat­i Menteri Belia dan Sukan ini walaupun hanya membawa gelaran ‘KJ’. Kita perlu sedar dan sentiasa mengingatk­an diri sendiri bahawa rasa hormat dan penghormat­an itu bukan daripada pangkat, gelaran atau jawatan, tetapi daripada jati diri individu.

Kalau kita hormat seseorang Tun atau Tan Sri, ia bukan kerana gelaran yang ada pada namanya, tetapi kerana kita mengiktira­f jasa, hasil kerja dan reputasi yang ada pada individu berkenaan. Kalau nak diikutkan kisah pangkat dan gelaran yang dipegang, pernah suatu ketika dahulu saya diberi pangkat dan gelaran yang tinggi setinggi-tingginya, tiada siapa melainkan Sultan dan kerabat yang paling hampir dengan Sultan sahaja yang mempunyai gelaran lebih tinggi daripada saya ketika itu.

Dari sembah diraja yang diberi segenap rakyat jelata sampailah ke layanan yang paling istimewa, apalah sahaja yang tidak saya rasa dan tidak saya dapat dengan status yang ada pada diri ini ketika itu. Namun, sebagaiman­a kita diajar dalam Islam, segala perkara yang berada di atas dunia ini hanya pinjaman semata-mata dan apabila sampai masanya ia tetap akan pergi jua. Tak kisahlah apa pun pangkat, jawatan atau gelaran yang kita pegang, kalau sudah ditentukan oleh Maha Pencipta, maka kembalilah kita kepada asal.

Masih kuat di ingatan saya mimik muka terkejut orang ramai apabila menyedari bahawa saya turut serta beratur di kaunter bayaran menunggu giliran untuk membeli sebuku roti di sebuah pasar raya di Bandar Seri Begawan, ketika itu hilanglah segala pangkat gelaran dan kembalilah saya menjadi wanita biasa yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Kadang-kadang pangkat, gelaran dan jawatan ini membuatkan seseorang itu lupa diri, timbul rasa dengan adanya status baharu ini, maka sudah jadilah orang yang tarafnya lebih tinggi berbanding orang biasa. Pembawakan turut berubah, dari cara bergaul, bertutur sampailah kereta pun sungguh-sungguh mahu menunjukka­n status pangkat dengan lambang dan logo gah dipampangk­an. Imej dan pembawakan seperti inilah yang membuatkan orang ramai, khususnya anak muda berpendapa­t bahawa untuk menjadi seseorang yang dihormati dan disegani, maka perlu mendapat pangkat dan gelaran.

Apa dikenang bukan gelaran, tetapi budi yang baik

Hal inilah mengakibat­kan mereka sanggup menipu dan membeli gelaran dari luar negara semata-mata berkehenda­kkan status ini. Pandangan ini amatlah salah dan tidak wajar kita semarakkan, budaya mengejar gelaran sematamata ini mesti ditolak kerana ianya tidak melambangk­an nilai murni masyarakat kita yang sebenar. Hang Tuah dikenali bukan kerana gelaran Datuk Laksamana, tetapi kerana kesetiaan dan keberanian­nya, kita rindu dan sayang seniman legenda P Ramlee kerana karyanya dan bukan kerana gelaran Tan Sri. Bukankah nenek moyang kita sudah mengajar kita, mengingatk­an kita bahawa apa yang dikenang bukanlah pangkat dan gelaran, tetapi budi yang baik?

Mungkin sudah tiba masanya kita sebagai masyarakat melihat semula akan ketaasuban kita dengan gelaran dan pangkat serta kembali kepada asal kita yakni menilai seseorang itu dengan budi, akhlak dan pekerti.

Menyebut mengenai budi dan pekerti, pada kesempatan ini ingin saya dengan rasa penuh rendah diri mengucapka­n terima kasih yang tidak terhingga kepada segenap rakyat Brunei Darussalam yang begitu tinggi akhlak dan budi mereka yang mana ketika saya kembali menjadi rakyat jelata, masih lagi saya dilayan dengan baik dan penuh berbudi bahasa, jasa dan budi kalian akan saya kenang sehingga akhir hayat.

Tiba masanya kita lihat semula ketaasuban dengan pangkat yakni menilai seseorang dengan budi, akhlak dan pekerti” Kita hormat seseorang Tun atau Tan Sri, ia bukan kerana gelaran pada namanya, tetapi kerana mengiktira­f jasa, hasil kerja dan reputasi individu berkenaan” Gelaran membawa status tertentu dalam strata sosial masyarakat, secara semula jadi apabila seseorang itu memegang pangkat”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia