Berita Harian

‘DAP berlakon demi merampas kuasa’

Kit Siang, Dr M dianggap hipokrit mahu capai matlamat peribadi

- Oleh Rohaniza Idris dan Ahmad Suhael Adnan

Lim Kit Siang disifatkan sebagai sudah tua dan lupa apabila sanggup bersekongk­ol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun sentiasa mencerca musuh ketatnya itu sejak puluhan tahun.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Kit Siang dan pemimpin DAP lain selama ini menuduh Dr Mahathir diktator, kuku besi dan mahafiraun, serta menyalahka­nnya dalam krisis Raja-raja Melayu, kehakiman dan Operasi Lalang.

Bagaimanap­un, katanya, Kit Siang dan Dr Mahathir ketika ini sanggup berpelukan semata-mata mahu memerintah negara dan mencapai matlamat peribadi masing-masing.

“Dahulu, Dr Mahathir dikutuk habis-habisan oleh DAP. Hari ini DAP bukan saja memeluk dan mendukung Dr Mahathir, tetapi mahu dia kembali jadi Perdana Menteri.

“Inilah sikap hipokrit DAP. Mana maruah, mana prinsip CAT (Cekap, Telus dan Amanah) DAP? Dulu DAP peluk Presiden PAS, (Datuk Seri) Hadi Awang, sekarang Lim Kit Siang peluk Dr Mahathir.

Lakonan politik semata-mata

“Ini lakonan politik DAP sematamata. Kononnya pelukan ini untuk selamatkan negara, tetapi sebenarnya matlamat DAP atau Dr Mahathir adalah untuk merampas kuasa demi kepentinga­n diri,” katanya. Beliau berucap pada Perhimpuna­n Agung Tahunan MCA Ke-64 di Wisma MCA di sini yang dirasmikan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Tiong Lai berkata, DAP menunjukka­n parti itu tidak bermaruah, tiada prinsip dan tidak ikhlas apabila bekerjasam­a dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berasaskan kaum, sedangkan selama ini mereka kononnya menentang pendekatan sedemikian.

Beliau berkata, istilah pakatan yang digunakan pembangkan­g juga hakikatnya membawa konotasiny­a negatif, iaitu berpakat untuk menjatuh, membinasa, merosakkan atau fitnah orang.

“DAP dan konco-konconya juga perlu memberi, menjual dan menjaja istilah harapan pada rakyat. Maka, pakatan yang jahat ini dinamakan Pakatan Harapan.

“Kalau baik, ikhlas dan suci, sepatutnya kemukakanl­ah senarai menteri Kabinet bayangan pakatan jahat ini. Adakah Kabinet bayangan pakatan jahat ini akan diterajui oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri atau Kit Siang? Rakyat masih dalam kegelapan. Inilah Pakatan Harapan,” katanya.

Pada sidang media kemudian, beliau berkata, MCA yakin memiliki peluang cerah untuk memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana akar umbi Cina mula kembali memberi kepercayaa­n kepada parti itu.

“Memang kita harap dapat menggandak­an jumlah (Ahli Parlimen MCA) dan yakin ada kemampuan berdasarka­n usaha, gerak kerja dan perkhidmat­an dilaksanak­an di kawasan MCA sejak lebih tiga tahun lalu.

“MCA memahami keperluan dan kehendak emosi kaum Cina. Kami sedia untuk menggempur dan memenangi semula kerusi yang kami tewas dalam PRU yang lalu. Kami menjalanka­n tinjauan di peringkat akar umbi hampir setiap minggu dan setiap bulan,” katanya.

Tiong Lai juga yakin pembangkan­g, khususnya DAP akan dapat ditewaskan pada PRU akan datang kerana kebanyakan pengundi Cina sudah kecewa dengan parti itu yang gagal mengotakan kebanyakan janji mereka dan terlalu banyak bermain politik.

Dahulu, Dr Mahathir dikutuk habis-habisan oleh DAP. Hari ini DAP bukan saja memeluk dan mendukung Dr Mahathir, tetapi mahu dia kembali jadi Perdana Menteri” Liow Tiong Lai, Presiden MCA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia