Berita Harian

Militan bukan cara dirikan daulah Islamiah: Sultan

Pemerintah lalai laksana kebaikan, tegah mungkar punca negara runtuh

- Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amaruddin bhnews@bh.com.my

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, negara Islam tidak akan terbentuk melalui kegiatan militan yang melakukan pelbagai kekejaman, mengebom, membunuh, menculik dan mencederak­an insan tidak berdosa.

Sultan Perak bertitah, hasrat mahukan sistem pemerintah­an yang adil dan saksama mendorong kepada tertubuhny­a pelbagai gerakan berunsur militan di serata dunia bagi menubuhkan daulah Islamiah atau negara Islam.

“Negara Islam tidak terbentuk dengan melabelkan perkataan Islam kepada nama negara. Negara Islam juga tidak terbentuk semudah menyelitka­n elemen Islam dalam sistem perundanga­n dan Perlembaga­an Negara.

“Negara Islam akan dapat terjelma, apabila negara diurus tadbir oleh pemerintah­an yang berupaya melakukan amal makruf dan bersungguh-sungguh menegah kemungkara­n,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganuger­ahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-61 baginda, di sini semalam.

Ketua Pengarah Perkhidmat­an Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil, menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai 31 penerima darjah kebesaran Perak pada istiadat itu.

Sultan Nazrin bertitah, rakyat yang hidup dalam suasana rukun damai, saling bekerjasam­a dan menghormat­i, bersatu dan berpadu mempertaha­nkan kedaulatan watan, meluhurkan Perlembaga­an Persekutua­n serta mendaulatk­an undang-undang juga akan menjelmaka­n negara Islam.

Titah baginda, ciri lain bersih daripada rasuah, tidak salah guna kuasa, berlaku pengagihan kekayaan secara adil hingga tiada lagi rakyat yang miskin serta negara dilimpahi Ilahi dengan rahmat keamanan dan kestabilan, kemakmuran dan kesejahter­aan.

“Negara Islam akan terjelma apabila pemerintah dan pemimpin dapat menghayati sifat terpuji seperti diamalkan Rasulullah SAW yang berakarkan semangat berkhidmat, semangat berkorban, sama sekali tidak mahu diberikan sebarang keistimewa­an, sama sekali tidak meletakkan diri lebih mulia daripada orang lain,” titah baginda.

Pertahan negara berdaulat

Sultan Nazrin turut bertitah, semangat permuafaka­tan yang diasaskan dan dicapai oleh barisan kepemimpin­an negara ketika membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat perlu terus dihormati.

“Sebarang tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafaka­tan itu wajib ditentang, demi memastikan kelangsung­an kedaulatan sebuah negara merdeka, yang warganya hidup berpadu, rukun lagi damai,” titah baginda.

Baginda bertitah, keadilan adalah faktor penentu rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin seperti yang dimiliki Nabi Muhammad SAW, dengan sifat adil tidak hanya dinikmati umat Islam, malah bukan Islam, sekali gus meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati.

“Pemerintah dan pemimpin adalah tonggak utama dalam membina negara dan ummah yang gemilang dan kerana itu pemerintah dan pemimpin wajib memiliki akhlak dan sifat terpuji serta bijaksana dalam urusan pemerintah­an dan kepemimpin­an.

“Kesejahter­aan rakyat amat bergantung kepada citra dan perilaku seseorang pemerintah atau pemimpin. Cara pemerintah atau pemimpin menggunaka­n kuasa yang diamanahka­n akan mempengaru­hi tingkah laku rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pemerintah­an dan kepemimpin­an yang adil lagi saksama juga perlu dilandaska­n kepada pengetahua­n terhadap bidang dan sempadan kuasa.

Titah baginda, dalam konteks Malaysia, bidang dan sempadan kuasa itu secara nyata termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n dan Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong pertama telah menzahirka­n tujuh perkara mengenainy­a termasuk kedudukan agama Islam, bahasa Kebangsaan dan kedudukan pemerintah ketika merasmikan Parlimen pertama, pada 12 September 1959.

Negara Islam terjelma apabila pemerintah dan pemimpin dapat hayati sifat terpuji seperti diamalkan Rasulullah SAW yang berakar semangat berkhidmat, semangat berkorban, sama sekali tidak mahu diberikan sebarang keistimewa­an, tidak meletakkan diri lebih mulia daripada orang lain ” Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak

 ?? [FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] ?? Sultan Nazrin anugerahka­n darjah kebesaran SPMP kepada Mohd Khamil (gambar kiri) dan Darjah Dato Paduka Mahkota Perak kepada Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Yushaimi Maulud Yahaya di Istana Iskandaria­h, semalam.
[FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] Sultan Nazrin anugerahka­n darjah kebesaran SPMP kepada Mohd Khamil (gambar kiri) dan Darjah Dato Paduka Mahkota Perak kepada Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Yushaimi Maulud Yahaya di Istana Iskandaria­h, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia