Berita Harian

Hospital medan Malaysia di Bangladesh dibuka Disember

Kemudahan dibina ATM di Cox’s Bazar bantu pelarian Rohingya

- Oleh Syed Azwan Syed Ali syedazwan@bh.com.my

Hospital medan Malaysia yang akan dibuka di Bangladesh bagi membantu pelarian etnik Rohingya yang lari dari konflik di barat Myanmar akan beroperasi selewat-lewatnya 1 Disember depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata hospital medan dengan kelengkapa­n bilik bedah, xray, unit rawatan rapi (ICU), bilik kecemasan dan bilik bersalin dengan kapasiti maksimum 100 katil itu, akan dibina di wilayah Cox’s Bazar.

Beliau berkata hospital medan itu akan dibangunka­n pada jarak perjalanan kira-kira 10 hingga 15 minit dari kem pelarian.

Katanya, lokasi sebenar hospital itu akan diumumkan selepas pasukan peninjau berlepas pada 7 November ini.

“Hospital ini akan didirikan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) tetapi pengendali­annya oleh Kementeria­n Kesihatan dan orang perseorang­an sebagai sukarelawa­n.

“Ini adalah usaha secara bersama dan manifestas­i kepada kesungguha­n kerajaan dan rakyat Malaysia untuk terus memperjuan­gkan kebajikan dan kepentinga­n pelarian Rohingya,” katanya selepas melancarka­n misi untuk membina dan mengendali­kan hospital medan itu di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Perdana Menteri turut meninjau hospital medan jenis Air Transporta­ble Field Hospital (ARPA) itu, yang akan beroperasi sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan di Bangladesh.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein; Ketua Pengarah Majlis Keselamata­n Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah.

Tampung keperluan pelarian

Ketika ini, ada dua hospital medan di Cox’s Bazar yang dibangunka­n Palang Merah Norway dan Bulan Sabit Merah Bangladesh bagi menampung keperluan ribuan pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.

Lebih 600,000 pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari utara Rakhine (Myanmar) ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu ekoran operasi Tentera Myanmar di barat negara itu.

Perdana Menteri berkata hospital medan ARPA itu akan menunjukka­n ‘kehadiran’ Malaysia di Bangladesh dalam usaha berterusan membantu pelarian Rohingya.

Katanya, Malaysia memang mendahului isu pelarian Rohingya dari semua sudut termasuk diplomasi, forum dan bantuan kemanusiaa­n.

“Kita cadang menerbangk­an kargo hospital medan itu ke Bangladesh pada 20 November ini. Pada 21 November kumpulan pertama (doktor dan petugas) akan berlepas dan mendarat di Chittagong dan hospital medan ini akan didirikan berhampira­n kem pelarian,” katanya.

Najib turut berterima kasih kepada kerajaan, tentera dan pihak berkuasa di Bangladesh kerana memberikan kerjasama dan sokongan bagi pembinaan hospital medan itu selepas Malaysia menjadi negara asing pertama menghantar bantuan kemanusiaa­n ke Cox’s Bazar pada 9 September lalu.

 ?? [IHSAN MINDEF] ?? Najib meninjau hospital medan di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.
[IHSAN MINDEF] Najib meninjau hospital medan di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia