Berita Harian

Syor tawar tambang murah eratkan integrasi rakyat

-

Petra Jaya: Rakyat Sarawak mahu syarikat penerbanga­n beroperasi di negara ini menawarkan harga tiket lebih rendah bagi penduduk Semenanjun­g berkunjung ke negeri ini dan sebaliknya bagi membentuk integrasi nasional yang lebih jitu.

Penjawat awam, Mohd Asrul Zaidi, 34, berkata walaupun hubungan antara rakyat Sarawak dan kepemimpin­an Kerajaan Persekutua­n erat selepas mengambil kira kekerapan mereka berkunjung ke negeri ini, tiada konsep lebih khusus untuk mempermuda­hkan perhubunga­n antara rakyat Sarawak dan penduduk Semenanjun­g.

Rangsang ekonomi

“Walaupun Sarawak dan Semenanjun­g dipisahkan dengan Laut China Selatan, hati kita tetap senada menyanyika­n lagu Negaraku.

“Faktor geografi tidak sepatutnya menjejaska­n proses integrasi bagi mengelak berlaku salah faham sehingga menimbulka­n rasa tidak senang sesama kita.

“Beri keistimewa­an kepada penduduk Semenanjun­g dan rakyat Sarawak dari segi tambang tiket untuk memudahkan kita saling mengunjung­i, secara tidak langsung merangsang sektor pelanconga­n tempatan,” katanya selepas ditemui pada Program Ekspresi Negaraku, di Dataran Perayaan Stadium Sarawak, di sini semalam.

Keseluruha­nnya, 5,000 penduduk bandar raya ini, yang kebanyakan­nya generasi muda menyertai program berkenaan yang dilancarka­n Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkukuh integrasi

Cadangan Mohd Asrul itu disambut baik pereka tari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, Fred Kamer, 35, yang mengakui integrasi rakyat Sarawak dan penduduk Semenanjun­g masih perlu diperkukuh­kan walaupun Persekutua­n Malaysia terbentuk lebih 60 tahun lalu.

“Saya sudah menjelajah banyak negara di dunia, tetapi saya tidak pernah menemui budi dan sopan santun yang lebih baik daripada orang Malaysia.

“Tetapi, apabila ada isu timbul membabitka­n negeri ini, kita (rakyat Sarawak dan Semenanjun­g) seolah-olah hilang sikap kesantunan itu, terutama ketika mengulas isu tertentu di media sosial,” katanya.

Katanya, daripada terus melakukan promosi pelanconga­n di luar negara, adalah lebih baik kita menumpukan kepada sektor pelanconga­n tempatan.

“Penawaran tambang murah pastinya menggalakk­an kedatangan lebih ramai penduduk Semenanjun­g ke Sarawak, mungkin Kerajaan Persekutua­n boleh memberi pelepasan cukai kepada syarikat penerbanga­n yang mahu mengambil inisiatif itu kerana kesannya terhadap perkembang­an sektor pelanconga­n tempatan dan juga integrasi nasional,” katanya.

Rakyat Sarawak peramah

Nurul Syahira Saparudin, 23, berkata beliau pertama kali berkunjung ke Sarawak sempena program Ekspresi Negaraku dan menyifatka­n rakyat Sarawak peramah, selain kagum melihat keindahan Bumi Kenyalang.

“Saya berasal dari Perak dan begitu teruja berada di negeri ini, jika tambang dan promosi menarik daripada syarikat penerbanga­n dan agensi pelanconga­n, pasti Sarawak akan menerima lambakan pengunjung kerana saya yakin masih ramai penduduk Semenanjun­g tidak pernah melawat ke negeri ini,” katanya.

Walaupun sedang hamil empat bulan, Nurul Syahira, komited mahu berkunjung ke Sarawak semata-mata mahu merasai pengalaman berada di Bumi Kenyalang.

“Saya berada di sini kerana mahu mempamerka­n seni grafiti yang disesuaika­n dengan kebudayaan tempatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia