Berita Harian

Guan Eng ucap terima kasih kepada TPM

-

Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjawab panggilan telefonnya jam 3.30 pagi semalam susulan banjir besar yang melanda negeri ini.

“Saya berjaya hubungi Timbalan Perdana Menteri bagi mendapatka­n bantuan. Terima kasih kerana jawab panggilan saya hampir jam 3.30 pagi,” katanya sambil menambah, Pulau Pinang terpaksa meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau yang ditemui media semalam, berkata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berjanji menghantar anggota ATM bagi membantu menyelamat­kan mangsa banjir di Pulau Pinang.

Sementara itu, Guan Eng berkata, keputusan mengisytih­arkan darurat atau sebaliknya susulan banjir yang melanda Pulau Pinang, hanya akan dibuat selepas berunding dengan Kerajaan Persekutua­n.

“Tidak perlu kerajaan negeri isytihar darurat kerana keadaan adalah terkawal selepas wujud kerjasama dan bantuan daripada kerajaan Persekutua­n,” katanya.

Katanya, purata taburan hujan dan tempias taufan Demrey adalah punca utama banjir di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Dalam perkembang­an berkaitan, EXCO Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow, berkata banjir bertambah buruk apabila air laut pada jam 1 petang kelmarin, berada pada paras 2.7 meter.

“Malah, sistem perparitan semula jadi dan buatan sedia ada tidak mampu menampung aliran air hujan, sekali gus menyebabka­n banjir yang teruk,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia