Berita Harian

KM Pulau Pinang tak perlu bimbang bantuan banjir

-

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberikan perkhidmat­an ketika bencana kepada semua negeri tanpa mengira siapa mentadbirn­ya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein, berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, tidak perlu bimbang mengenai bantuan banjir kerana perkara itu tertakluk dalam prosedur operasi standard (SOP) ATM.

“Dalam keadaan banjir, kami tidak memilih negeri mana dan sebab itu gerak bantuan ke Pulau Pinang diatur sejak awal pagi tadi (semalam).

“Ketua Menteri Pulau Pinang tidak perlu bimbang kerana apa yang kita lakukan di Kelantan dan Terengganu ketika banjir besar lalu, kita akan lakukan juga di Pulau Pinang.

Bantuan secara konsisten

“ATM menghantar bantuan secara konsisten seperti yang ditekankan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meninjau hospital medan Malaysia yang akan beroperasi di Cox’s Bazar, Bangladesh bagi membantu pelarian Rohingya.

Hishammudd­in mengulas laporan Guan Eng menghubung­i Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, awal pagi semalam meminta bantuan ATM apabila banjir di Pulau Pinang semakin teruk.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor, berkata seramai 160 anggota dan pegawai ATM dikerah ke Pulau Pinang sejak pagi semalam.

“Pegawai sudah berada di sana untuk membuat tinjauan dan melihat keperluan sebenar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia