Berita Harian

Ambiga diminta perjelas dakwaan

Sikap berdolak-dalik cetus curiga, bertentang­an prinsip ketelusan diperjuang selama ini

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Prinsip ketelusan Datuk S Ambiga terus dipersoal kerana enggan berterus-terang mengenai dakwaan yang menamakan beliau sebagai sumber dalam laporan mengaitkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menerima wang daripada Perdana Menteri.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, berkata sikap bekas Presiden Majlis Peguam itu amat mencurigak­an apabila beliau enggan mengesah atau menafikan kenyataan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-brown itu.

Sikap berdolak-dalik itu juga bertentang­an dengan prinsip ketelusan yang diperjuang­kan Ambiga dalam pelbagai kempen Bersih anjurannya.

Bersikap dolak-salik

“Apakah Ambiga memegang prinsip yang berbeza untuk dirinya berbanding dengan orang lain?

“Saya berpendapa­t, Ambiga amat jelas menggunaka­n pengetahua­nnya sebagai peguam untuk terus menyembuny­ikan diri daripada kebenaran mengenai apa yang berlaku dalam perbualann­ya dengan Rewcastle-brown.

“Jika dakwaan pembayaran itu berlaku, bukankah Ambiga sepatutnya berterus-terang dan mengemukak­an bukti atau segera membersihk­an namanya jika kenyataan Rewcastle-brown itu adalah fitnah?,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sehubungan itu, Seai Kie berkata, Wanita MCA mendesak Ambiga tampil dengan kenyataan lebih jelas untuk mengesahka­n dengan bukti atau menafikan kenyataan seperti dakwaan Rewcastle-browin.

“Ambiga perlu membuktika­n kredibilit­i dirinya berhubung kenyataan itu serta berlaku adil terhadap mangsa dituduh,” katanya.

Nama Ambiga disebut Rewcastle-brown dalam hujah balas dan pembelaan yang difailkann­ya, mendakwa pernah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 mengenai Najib, 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) dan PAS.

Pembelaan itu difailkan Rewcastle-brown dalam saman fitnah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, di Mahkamah Tinggi London pada April tahun ini, membabitka­n artikel yang mendakwa PAS menerima dana RM90 juta.

Apakah Ambiga memegang prinsip yang berbeza untuk dirinya berbanding dengan orang lain?” Heng Seai Kie, Ketua Wanita MCA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia