Berita Harian

Bot laut dalam enggan pergi lebih 100 batu nautika

-

Kuala Terengganu: Keengganan bot laut dalam nelayan tempatan menangkap ikan di kawasan perairan lebih 100 batu nautika, menyebabka­n perairan itu yang kaya dengan hasil laut sering diceroboh nelayan asing.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi, berkata isu bimbang keselamata­n terancam dengan kehadiran bot nelayan asing, masalah logistik selain aspek sokongan lain antara punca nelayan tempatan enggan menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Katanya, daripada 1,190 bot laut dalam tempatan yang berdaftar dengan jabatan itu, hanya 10 peratus menjalanka­n aktiviti menangkap ikan melebihi 100 batu nautika.

“Kekurangan bot laut dalam nelayan tempatan menangkap ikan di perairan 100 hingga 200 batu nautika menyumbang kepada kebanjiran bot nelayan asing menceroboh kawasan itu bagi menangkap ikan.

“Kebanyakan bot laut dalam nelayan tempatan hanya melakukan aktiviti penangkapa­n ikan pada jarak 30 hingga 100 batu nautika.

“Kalau kita lihat, sumber ikan yang terdapat pada jarak 100 batu nautika ke atas cukup banyak sehingga banyak bot asing mengambil kesempatan menceroboh dan menangkap ikan.

Nelayan tak beroperasi sepenuhnya

“Hal ini berlaku kerana nelayan kita tidak sepenuhnya beroperasi di kawasan ini,” katanya selepas sambutan Ulang Tahun Ke-25 Pusat Pembanguna­n Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) dan Jabatan Pembanguna­n dan Pengurusan Sumber Perikanan Marin (MFRDMD) di sini, semalam.

Munir yang juga Ahli Majlis Pengarah SEAFDEC turut merasmikan nama baru MFRDMD kepada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Mengulas lanjut, Munir berkata, bagi mengelak pembaziran sumber itu, pihaknya mahu nelayan laut dalam tempatan memanfaatk­an peluang menangkap ikan di lokasi berkenaan, sekali gus membantu meningkatk­an jumlah pendaratan ikan untuk pasaran tempatan.

“Nelayan tempatan tidak seharusnya bimbang keselamata­n atau berasa terancam kerana kami yakin dengan kawalan keselamata­n dan rondaan dilakukan agensi penguat kuasa dapat menjamin keselamata­n mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia