Berita Harian

Calon STPM mengaku salah miliki dua bom

Dua lagi turut dituduh terbabit kesalahan berkaitan pengganas

- Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

Seorang pelajar Tingkatan Enam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas tuduhan memiliki dua bom buatan sendiri, dipercayai untuk serangan terhadap 'The Better Festival Beer 2017' di ibu negara, Oktober lalu.

Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, yang sepatutnya menduduki peperiksaa­n Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) hari ini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa memiliki dua butir ‘improvised explosive device’ (IED) di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, pada jam 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia yang dipercayai terbabit aktiviti membuat bom sejak berusia 12 tahun, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebat maksimum enam kali.

6 Disember jatuh hukum

Mahkamah menetapkan 6 Disember ini untuk jatuh hukum bagi kesalahan itu.

Tertuduh turut berdepan empat tuduhan lain, iaitu memiliki gambar, video serta dokumen mengenai perbuatan pengganas; memaparkan bahan berkaitan kumpulan Daesh; memberi latihan melalui aplikasi Whatsapp dan hadir di tempat latihan pengganas di tanah lapang Gong Kulim, Pasir Puteh.

Bagaimanap­un, tiada pengakuan direkodkan mahkamah terhadap semua kesalahan itu yang dibaca di bawah Kanun Keseksaan, masing-masing mengikut Seksyen 130JB (1) (a); Seksyen 130JB (1) (b); Seksyen 130F (a) dan Seksyen 130 FB (1) (a).

Di mahkamah sama, Azmi Ahmad Rosli, 24, didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 130FA (a) kanun sama kerana menerima latihan pengganas melalui Whatsapp; Seksyen FB (1) (a) dan Seksyen 130JB (1) (a).

Seorang lagi, Mahadi Ibrahim, 34, berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 130FA (a) serta Seksyen 130FB (1) (a) Kanun Keseksaan juga kesalahan berkaitan keganasan.

Pertuduhan membabitka­n Seksyen 130F pertama kali digunakan di negara ini yang memperuntu­kkan hukuman hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh termasuk Muhamad Hafizi tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Mahkamah menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes termasuk permohonan pemindahan bagi pertuduhan membabitka­n aktiviti berkaitan kumpulan Daesh secara serentak di Mahkamah Tinggi Putrajaya.

 ?? [FOTO ZAMAN HURI ISA/BH] ?? Anggota polis membawa tiga suspek Azmi (kiri), Mahadi (tengah) dan Muhamad Hafizi di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam.
[FOTO ZAMAN HURI ISA/BH] Anggota polis membawa tiga suspek Azmi (kiri), Mahadi (tengah) dan Muhamad Hafizi di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia