Wall Street bantu tingkat pasaran Asia
Pasaran saham Asia meningkat pada Jumaat, susulan pelabur menjejaki peningkatan di Wall Street selepas pencalonan Pengerusi Baharu Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) dan pembekal Apple meraih manfaat daripada laporan perolehan yang kukuh.
Indeks Dow ditutup pada paras rekod baharu selepas Presiden AS, Donald Trump memilih Jerome Powell untuk menerajui Fed, dilihat sebagai pilihan bukan kontroversi yang tidak mungkin secara radikal mengubah langkah mengetatkan dasar monetari secara perlahan seperti yang dimahukan pasaran saham.
Namun, keyakinan terhadap pelan pengurangan cukai yang dinanti-nantikan oleh Kongres Republikan, yang mahu mengurangkan kadar korporat dan memacu pertumbuhan ekonomi, terjejas oleh penentang dalaman dan Demokrat.
Pelabur juga menunggu penyiaran laporan pekerjaan utama AS yang akan memberikan angka pembayaran gaji bukan ladang.
Peningkatan semula mendadak paras pekerjaan dijangkakan pasaran, selepas angka September terjejas oleh taufan Harvey dan Irma.
Sementara itu, pembekal Apple di Asia meningkat berikutan syarikat itu berkata keuntungannya meningkat 19 peratus kepada AS$10.7 bilion, dan dijangka lantunan jualan bagi iphone X, sempena ulang tahunnya ke-10.
Syarikat Korea Selatan, LG Display dan Taiwan, Largan Precision meningkat, dan juga syarikat yang disenaraikan di Bursa Hong Kong, Cowell E Holdings dan Sunny Optical Technology.
Telefon pintar Apple baharu dilancarkan di lebih 50 negara dan wilayah semalam termasuk di kebanyakan pasaran Asia, dengan barisan menunggu yang panjang di kedai jualannya, yang disifatkan Ketua Eksekutifnya, Tim Cook sebagai tempahan yang sangat tinggi.
Saham Hong Kong naik 0.3 pera- tus, Taiwan tambah 0.1 peratus, sementara Korea Selatan 0.3 peratus lebih tinggi ke paras tertinggi baharu.
Bagaimanapun, Shanghai jatuh 0.3 peratus, berikutan langkah Beijing untuk mengetatkan peraturan pengambilalihan asing.
Syarikat e-dagang terbesar China, Alibaba berkata, peningkatan jualan memacu peningkatan 132 peratus dalam untung bersihnya, sekali gus menyifatkan prestasi suku tahunan cemerlang.
Alibaba meningkatkan unjuran pendapatan berikutan ia terus meraih manfaat daripada ledakan e-dagang China yang membantunya meningkat.
Syarikat yang disenaraikan di Hong Kong, satu lagi syarikat yang besar dalam sektor itu, memperlihatkan sahamnya meningkat di Hong Kong semalam.
Pasaran Jepun ditutup sempena cuti umum.