Berita Harian

50 mahasiswa UPM sertai program anak angkat

Penghuni Kolej 17 balik kampung tabur bakti kepada masyarakat di Tedong Merlimau

- Oleh Norizzah Baharudin

Seramai 50 penghuni Kolej 17 mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor, menyertai program ‘17 Balik Kampung Program Anak Angkat’ di Kampung Tedong, Merlimau, di sini.

Program selama tiga hari berakhir semalam itu adalah anjuran Sekretaria­t Perpaduan dan Hubungan Luar, Kolej 17, UPM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Kampung Tedong, Lembaga Pengurusan Masjid Masjid Al Muttaqin dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kampung Tedong.

Rasai gaya hidup kampung

Pengarah program, Che Thaqif Che Mustafha, berkata objektif program itu adalah memberi peluang kepada mahasiswa di luar Melaka merasai sendiri budaya dan gaya hidup masyarakat setempat yang dikatakan ‘kasar namun mesra’.

“Sebelum ini kita mempunyai kampung angkat di Perak namun selepas rombakan dibuat kita memilih Kampung Tedong sebagai kampung angkat kerana tarikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelanconga­n popular,” katanya ketika ditemui pada program gotongroyo­ng dan penanaman pokok nadir di Masjid Al Muttaqin, Kampung Tedong, Merlimau, di sini, semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Al Muttaqin, Datuk Akbar Ali; Pengerusi JKKK Kampung Tedong, Ash'ari Komeng serta 21 keluarga angkat mahasiswa.

Che Thaqif berkata, pihaknya memperoleh dana daripada pihak pengurusan UPM, selain menjalanka­n kempen RM1 bagi seorang pelajar yang mana kutipan yang dilakukan pada setiap semester itu disalurkan kepada masjid kampung angkat.

Katanya, keramahan masyarakat di Melaka menjadi salah satu faktor Melaka menjadi pilihan mereka dalam menjayakan program kampung angkat dan ini adalah kali kedua kunjungan mereka ke Kampung Tedong selepas lima bulan lalu.

Tanam 13 pokok nadir di kawasan masjid

“Kita juga menanam 13 batang pokok nadir di sekeliling kawasan masjid, antaranya pokok asam gelugor, kundang, sentul, mentega, kayu manis, cermai, kelapa pandan, belimbing buluh, nam nam, rambai, putat, bidara dan binjai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia