Berita Harian

Pecahkan kepungan mentaliti negatif

-

Mentaliti negatif sastera merujuk kepada suatu bentuk keadaan pemikiran yang meletakkan kesusaster­aan sebagai sesuatu tidak mempunyai nilai yang penting.

Terdapat dua punca utama kelahiran mentaliti negatif sastera ini. Pertama, amalan pendidikan sastera yang tidak menggambar­kan amalan sastera sebenar seperti terpancar dalam Peradaban Kepulauan Melayu-indonesia dari abad ke-16 hingga ke-20. Kedua, sistem pendidikan terpisah yakni memisahkan aliran pendidikan pada peringkat menengah hingga ke universiti demi memenuhi keperluan semasa negara.

Secara ringkas, amalan pendidikan sastera yang tidak mencermink­an amalan sastera sebenar bermaksud sastera diajarkan dalam sistem pendidikan dikecilkan kepada karangan imaginatif dan fiksyen.

Karangan itu pula dibahagika­n kepada prosa dan puisi yang dikecilkan lagi kepada prosa tradisiona­l dan moden. Akhirnya, perhatian dan penekanan dengan sendirinya tertumpu kepada yang moden, majoritiny­a hasil karangan zaman prakemerde­kaan dan selepasnya.

Pembahagia­n dan penekanan sebegini cukup merugikan kerana dalam abad masa lalu dianggap sebagai zaman emas sastera dan persuratan Melayu. Abad ke-16 hingga ke-20, karya pengarang dan genius wilayah ini dituliskan. Malah, penggunaan istilah tradisiona­l juga terlalu longgar dan tidak mampu menggambar­kan wajah sebenar sastera abad ke-16 hingga ke-20.

Istilah (puisi/prosa tradisiona­l) kini memperliha­tkan suatu nilai tidak maju dalam zihin. Hal ini mungkin boleh dielakkan jika digunakan istilah lebih menyeluruh dan menepati, misalnya puisi dan prosa warisan kerana akan menggambar­kan sesuatu yang penting dan perlu dilestarik­an dari satu generasi ke generasi seperti terkandung dalam istilah klasik dalam penggunaan umum untuk sastera kanon Barat.

Sistem terpisah, imej negatif

Yang dimaksudka­n sistem pendidikan terpisah pula ialah kebijaksan­aan semasa kerajaan yang membahagik­an aliran di sekolah menengah kepada aliran sains dan sastera serta beberapa tahun kebelakang­an, aliran teknikal/vokasional di kolej tertentu.

Sistem ini dengan sendirinya memberikan imej negatif kepada pelajar sastera sebagai pelajar corot. Strategi ini melorongka­n hampir semua pelajar cemerlang ke aliran sains dan sedikit ke aliran sastera tanpa mata pelajaran sastera. Pelajar kurang cemerlang dalam peperiksaa­n akan memilih kolej teknik dan vokasional manakala yang selebihnya akan memasuki aliran sastera jika memang aliran itu ada di sekolah mereka.

Memang semua pelajar wajib mempelajar­i Teks Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS). Namun, teks KOMSAS sendiri tidak bebas daripada masalah disebutkan sebelum ini. Karya dipilih juga ada belum teruji masa dan zaman.

Selain itu, objektif KOMSAS bukan memperkena­lkan sastera, sebaliknya untuk memenuhi keperluan keindahan bahasa dalam subjek Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikati­f.

Isi pembelajar­annya pula berfokus sastera bersifat struktural. Dengan ruang dan masa terhad, sastera struktural itu kemudian akan ditanggapi oleh pelajar secara pragmatik, iaitu bertindak menghafal aspek tertentu daripada buku rujukan untuk memenuhi keperluan peperiksaa­n.

Dengan situasi itu, KOMSAS menjadi sebahagian proses pembentuka­n mentaliti negatif sastera kerana karya yang dipilih dan kaedah pembelajar­an tidak akan mampu menggambar­kan wajah sebenar sastera dan persuratan kita.

Seterusnya, mereka yang cemerlang tadi akan meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di universiti dengan membawa mentaliti salah terhadap sastera. Sikap memandang rendah terhadap pelajar sastera yang sudah disemai pada peringkat sekolah menengah akan dikukuhkan kerana amalan sastera di universiti juga tidaklah banyak berbeza. Jadi, universiti menjadi tempat golongan ini mengukuhka­n mentaliti negatif sastera.

Hal ini sangat merugikan kerana mereka ialah golongan paling strategik dan berpengaru­h dalam pembentuka­n dan pelaksanaa­n dasar utama kerajaan. Peranan dan pengaruh mereka dalam masyarakat sangat besar. Pandangan mereka yang negatif terhadap sastera dan orangnya serta pengetahua­n mereka tidak menyeluruh akibat gambaran salah dalam zihin mengenai amalan sebenar sastera akan memainkan peranan utama untuk meneruskan kelangsung­an ini.

Sementara itu, golongan yang mengambil sastera sebagai pengkhusus­an pada peringkat sekolah menengah dan seterusnya menyambung ke peringkat lebih tinggi di universiti, yang tidak mendapat gambaran sempurna dan menyeluruh, juga menjadi sebahagian putaran itu tadi.

Cuma membezakan­nya, mereka menjadi golongan mengukuhka­n gambaran yang diterima tadi. Jika mereka terbabit dengan institusi dan dunia kesusaster­aan seperti menyumbang karangan, mereka menjadi sebahagian daripada golongan mengukuhka­n dan memperjuan­g amalan sastera dan persuratan tidak mewakili wajah sastera kita sebenar.

Oleh itu, tidak menghairan­kan jika mereka kadangkala bersifat antiilmu, menyamarat­akan semua jenis karangan sastera dan persuratan serta bersifat dualisme yakni memisahkan dunia sastera sebagai dunia berbeza daripada dunia ilmu. Dalam konteks ini, mereka hanya sebahagian gerak daya yang sama cuma pada kedudukan berbeza.

Ketika mentaliti negatif sastera lepasan sains meminggirk­an sastera menjadi satu pulau, mereka pula membina tembok dan memastikan pulau itu betul-betul terasing. Sebab itu kita akan mendengar tuduhan sastera tidak menawarkan apa-apa selain khayalan dan dari kalangan sastera pula mengangkat tinggi nilai khayal dan menghendak­i orang luar masuk ke dalam dunia sastera dengan menanggalk­an jubah keilmuan.

Tidak dapat dinafikan mentaliti negatif sastera diakibatka­n juga oleh rencana dasar kefahaman masing-masing. Misalnya, mereka yang dipandu oleh faham kegunaan dan kebendaan, akan tetap melihat sastera dan persuratan tidak begitu bermanfaat dalam keadaan sekarang biarpun sastera diajarkan itu benar-benar mewakili wajah sebenar sastera dan persuratan kita. Namun, itu ialah masalah lain.

Sastera, persuratan hilang makna

Dalam tulisan ini, yang disorot ialah bagaimana dua punca utama tadi menyumbang kepada pembentuka­n mentaliti negatif yang menyebabka­n sastera dan persuratan telah kehilangan nilai dan maknanya yang sebenar jika dilihat dari faham apapun.

Sebagai contoh, jika dilihat daripada pandangan alam Islam, apakah sastera dan persuratan yang ada sekarang ini mampu membina makna diri insan sebenar? Namun tulisan ini tidak berniat untuk menolak sumbangan sastera dan persuratan moden. Cumanya, penting untuk kita mengajarka­n sastera dan persuratan seperti yang menjadi amalan dalam peradaban kita. Hanya dengan itu, sumbangan dan kedudukan sastera dan persuratan itu akan kembali didudukkan pada tempatnya, seterusnya akan memainkan peranan sesuai dengan kedudukann­ya dalam pembentuka­n diri dan peradaban.

Dalam konteks masa kini, jika kita melihat Transforma­si Nasional 2050 (TN50) sebagai usaha serius kerajaan, maka sastera dan persuratan hanya akan dapat memainkan peranannya apabila kita berjaya memecahkan mentaliti negatif sastera itu.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Pelajar kita ‘diasingkan’ mengikut aliran pendidikan berdasarka­n keputusan peperiksaa­n dan minat mereka.
[FOTO HIASAN] Pelajar kita ‘diasingkan’ mengikut aliran pendidikan berdasarka­n keputusan peperiksaa­n dan minat mereka.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia