Berita Harian

4,000 peminat banjiri Dataran Bandaraya rai kejayaan JDT

- Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Kira-kira 4,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) membanjiri Dataran Bandaraya di sini, malam tadi bagi menyambut kepulangan pemain dan jurulatih skuad Harimau Selatan yang menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Sebelum itu, mereka yang menjulang kejuaraan piala tertua di rantau Asia selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Shah Alam, kelmarin diarak dari Plaza Tol Skudai sebaik tiba dari Petaling Jaya sebelum menaiki bas khas.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut bersama.

Bas berkenaan kemudian melalui Lebuh Raya Skudai-johor Bahru dan bergerak ke kawasan hadapan Istana Bukit Serene melalui jalan Pantai Lido dan berakhir di Dataran Bandaraya.

Sejurus sampai, sorakan penyokong yang menyambut ketibaan juara Piala Malaysia itu nyata menghangat­kan lagi sambutan tatkala pemain menjulang piala yang kali terakhir dibawa ke bumi Johor 26 tahun lalu.

Piala berprestij

JDT menjuarai piala berprestij itu menerusi jaringan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Radzak pada minit ketiga dan Gonzalo Cabrera yang turut dinobat pemain terbaik aksi final itu, minit ke-63.

Pengendali JDT, Ulisses Morais menegaskan kejuaraan piala berprestij itu hadiah buat Tunku Ismail dan penyokong skuad Harimau Selatan.

“Bagi saya ini hadiah untuk bos saya, TMJ dan juga penyokong kerana mereka juga kami berada di final dan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama,” katanya.

Turut hadir pada majlis sambutan itu adalah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim.

Gelaran Piala Malaysia itu melengkapk­an kabinet trofi skuad Harimau Selatan sejak transforma­si yang dilakukan pada 2013 apabila mereka menjuarai Liga Super pada 2014, 2015, 2016 dan 2017.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] ?? Pemilik JDT dan merangkap Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim beramah mesra dengan penyokong JDT, di Dataran Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] Pemilik JDT dan merangkap Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim beramah mesra dengan penyokong JDT, di Dataran Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia