204 klinik kesihatan dipantau untuk naik taraf
Marudi: Kesemua 204 klinik kesihatan, termasuk klinik desa di negeri ini, khususnya yang terletak di kawasan pedalaman dan luar bandar, sedang dipantau bagi mengenal pasti keperluan untuk dinaiktaraf untuk kemudahan rakyat.
Justeru, klinik terbabit perlu mengemukakan laporan terperinci mengenai keperluan diperlukannya bagi membantu pihak kerajaan mengenalpasti bentuk bantuan, termasuk kemudahan disediakan dalam projek menaiktaraf itu.
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, berkata usaha itu sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya masyarakat pedalaman dan luar bandar, terutama dalam konteks kemudahan kesihatan.
“Ini bagi memastikan semua klinik kesihatan yang beroperasi di kawasan pedalaman dan luar bandar dapat menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat di peringkat akar umbi. Justeru, kita minta semua klinik kesihatan ini menyediakan laporan terperinci mengenai keperluan mereka.
“Ia tentunya dapat memudahkan kerajaan negeri mengenal pasti bentuk bantuan atau kemudahan yang boleh disediakan, selain klinik mana yang harus diberikan keutamaan terlebih dulu dalam pelaksanaan projek naik taraf ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Klinik Kluster - Klinik Kesihatan Long Lama, di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Telang Usan, Dennis Ngau.
Tambah pegawai perubatan
Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, berkata lebih ramai pegawai perubatan juga bakal ditempatkan di klinik kesihatan dan klinik desa untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Ia adalah langkah awal kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk pedalaman luar bandar. Contohnya, Klinik Kluster di Long Lama ini membolehkan penduduk di Baram mendapatkan perkhidmatan perubatan lebih mudah dan tidak perlu pergi jauh ke Hospital Miri,” katanya.
Sementara itu, Dennis berkata, kewujudan kemudahan klinik itu, yang turut menempatkan unit fototerapi dan analisis kimia, memberi banyak kelebihan kepada penduduk setempat.
“Penduduk Baram tidak lagi perlu membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Miri untuk tujuan yang sama seperti sebelum ini. Sekali gus, akan mengurangkan kos perubatan penduduk di Baram,” katanya.