Berita Harian

Lebih 1,500 khemah disediakan

-

Bukit Mertajam: Lebih 1,500 khemah pasang siap dibekalkan khusus untuk kegunaan mangsa banjir di Pulau Pinang.

Semua khemah berkenaan dibekalkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada pusat pemindahan yang dibuka melalui agensi yang terbabit dalam pengurusan mangsa banjir.

Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khemah pasang siap berukuran masing-masing 1.5 meter panjang dan lebar itu turut dibekalkan melalui Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan IM4U.

Jurucakap NADMA ketika ditemui berkata berdasarka­n rekod lebih 400 khemah sudah ditempatka­n di Pulau Pinang dan selebihnya dihantar secara berperingk­at berdasarka­n keperluan.

“Khemah pasang siap ini ada dalam beberapa saiz dan ia dibekalkan mengikut kesesuaian lokasi khususnya pusat pemindahan berdasarka­n jumlah keluarga.

Jaga privasi mangsa

“Kita harap khemah ini dapat dimanfaatk­an mangsa banjir di pusat pemindahan, terutama dalam menjaga privasi mangsa khususnya wanita,” katanya ketika ditemui di Dewan Banjir Guar Jering di Penanti, di sini.

Premis yang menjadi pusat pemindahan 50 keluarga dengan 185 mangsa itu terdahulu dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turun meninjau status banjir di negeri ini dan Kedah, semalam.

Mengenai Dewan Banjir Guar Jering, katanya lebih 40 khemah pasang siap dibekalkan melalui 1M4U hari ini untuk kegunaan mangsa.

Sementara itu, Zalina Salleh, 52, mengakui khemah dibekalkan itu sedikit sebanyak memudahkan mangsa banjir sepertinya untuk berehat khususnya wanita.

“Setakat nak baring-baring tu tak seganlah rasanya sebab tertutup, jadi ia bantu kami jaga ‘privasi’, selain memudahkan ibu saya, Munah Saad, 84, untuk berehat,” katanya.

Zalina berkata dia bersama 14 ahli keluargany­a sudah dua malam berlindung di pusat pemindahan itu selepas banjir sehingga mencecah paras 1.5 meter melanda kediamanny­a di Kampung Terus, di sini.

 ??  ?? Zalina Salleh
Zalina Salleh

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia