Berita Harian

Pasangan diraja lawat Kampung Budaya Sarawak

Keunikan etnik Bumi Kenyalang pikat Putera Charles, Camilla

-

Ketenangan suasana nyaman dan damai di Kampung Budaya Sarawak (SCV) berubah berbanding hari biasa, apabila ‘Muzium Hidup’ di kaki bukit Gunung Santubong itu buat julung kali menerima kunjungan tetamu yang sangat istimewa dari Britain.

Pasangan diraja, Putera Charles dan isteri baginda, Camilla dapat melihat kepelbagai­an etnik Sarawak secara dekat apabila menjejak kaki di perkampung­an yang terletak kira-kira 35 kilometer dari sini, semalam.

Suasana amat berbeza sekali bagi warga SCV apabila Putera Wales dan Duchess of Cornwall itu diiringi oleh Menteri Pengiring, Datuk Seri SK Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah tiba pada jam 2.30 petang.

Ketibaan disambut meriah

Sebaik tiba, rombongan diraja Britain itu disambut Pengerusi Perbadanan Pembanguna­n Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Hussai dan Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang sebelum disajikan persembaha­n tarian oleh penari SCV yang berpakaian tradisiona­l berwarna-warni.

Pasangan diraja itu kemudian dibawa berjalan di laluan kayu untuk menerokai sendiri landskap kampung yang ditawarkan di situ, dengan harapan baginda berdua dapat berkongsi pengalaman Sarawak dengan dunia luar dengan semuanya dalam tempoh sehari.

Persinggah­an pertama baginda berdua adalah Rumah Iban atau rumah panjang Iban bagi mengamati pemandanga­n dalaman rumah tradisiona­l suku etnik terbesar di Bumi Kenyalang.

Keunikan kediaman rumah panjang dan menjadi adat untuk pengunjung disambut oleh gadis dan pemuda rumah panjang melakukan tarian tradisiona, serta memainkan alat muzik ‘gong’ sebagai tanda ‘selamat datang’ ke kediaman mereka.

Sesi dialog tertutup

Putera Charles kemudian mengadakan sesi dialog tertutup dengan enam pemimpin komuniti dari suku kaum Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Melanau, Cina dan Melayu di Persada Alam, manakala Camilla pergi ke Dewan Lagenda untuk menyaksika­n pameran kraftangan tempatan.

Sesi selama 15 minit sebelum pasangan diraja itu ke Rumah Penan dengan Putera Charles teruja apabila mencuba kemahiran baginda menggunaka­n sumpitan.

Baginda berdua kemudian dibawa ke tasik berhampira­n di tengah perkampung­an itu untuk pengalaman menaiki rakit buluh yang menjadi mod pengangkut­an harian bagi penduduk di kawasan terpencil di negeri itu.

Pasangan diraja itu kemudian meninggalk­an SCV pada jam 3.40 petang untuk meneruskan lawatan di Kuching sebelum berlepas ke Pulau Pinang.

 ?? [FOTO NADIM BOKHARI/BH] ?? Putera Charles dan Camilla menaiki rakit buluh ketika lawatan ke Kampung Budaya Sarawak di Kuching, semalam.
[FOTO NADIM BOKHARI/BH] Putera Charles dan Camilla menaiki rakit buluh ketika lawatan ke Kampung Budaya Sarawak di Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia