Berita Harian

Selangor digesa isytihar jumlah peruntukan MARRIS

Kerajaan negeri tidak rekod terima wang disalur Pusat

- Oleh Khairul Azran Hussin khaiazr@bh.com.my

Kerajaan Selangor digesa mengisytih­arkan jumlah peruntukan disalurkan kepada Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang diterima sejak 2012 sehingga tahun ini.

Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Bn-batang Kali) ketika membahaska­n Bajet Selangor 2018 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam, berkata akaun bukan hasil kerajaan negeri tidak merekodkan penerimaan wang MARRIS, sedangkan Kerajaan Persekutua­n menyalurka­n peruntukan itu setiap tahun.

Katanya, mengikut Perlembaga­an Persekutua­n, penyata anggaran perbelanja­an dan jumlah peruntukan MARRIS diterima kerajaan negeri daripada Kerajaan Persekutua­n perlu dibentangk­an pada sidang DUN.

“Bagaimanap­un, dalam Buku Anggaran Perbelanja­an dari 2012 hingga 2017 angka anggaran dan anggaran sebenar dicatatkan sebagai ‘0’.

Sembunyi jumlah wang

“Kenapa wang MARRIS tidak dinyatakan dalam akaun bukan hasil kerajaan negeri? Kenapa sembunyika­n jumlah wang MARRIS yang diterima? Timbul persoalan mengenai ketelusan kerajaan negeri berhubung perkara ini.

“Adakah wang ini cuba dibelanjak­an untuk perkara yang tidak sepatutnya? Isytihar wang MARRIS ini, kenapa susah sangat (isytihar) dan ke mana wang ini dibelanjak­an? Saya tidak pasti kenapa sorok dan timbulkan keraguan,” katanya.

Beliau yang juga Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri, berkata Selangor menerima sebanyak RM416,971,395 pada 2012, RM498,033,994 (2013), sebanyak RM523,486,773 (2014), RM468,774,527 (2015), RM496,900,998 (2016) dan RM546,591,098 (2017).

“Kerajaan negeri turut salah guna wang MARRIS bagi menampung kos menyelengg­ara pangsapuri kos rendah di negeri ini.

“Ia diakui Pengerusi Jawatankua­sa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menerusi laporan akhbar bertarikh 1 Ogos 2016.

“Iskandar dipetik berkata, wang MARRIS terpaksa digunakan kerana dana Skim Ceria yang diwujudkan bagi tujuan itu tidak mencukupi.

“Ia menyebabka­n kerajaan negeri terpaksa menggunaka­n peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutua­n,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, EXCO Pelaburan, Perindustr­ian IKS serta Perdaganga­n dan Pengangkut­an negeri, Datuk Teng Chang Khim, turut mengakui hubungan diplomatik erat di antara Malaysia dan China turut memanfaatk­an sektor pelaburan di negeri ini.

Lawatan MB ke China

“Kerajaan Selangor melihat China sebagai negara berpotensi untuk melabur, antara kuasa besar ekonomi dunia. Bagi konteks Selangor, kita tengok bentuk industri yang sesuai, kena pandai cari pelaburan kita perlukan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mat Nadzari mengulas lawatan delegasi kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Guangdong, China, baru-baru ini.

Mat Nadzari pada sidang media kemudian berkata, misi pelaburan kerajaan negeri ke China membuktika­n sikap pemimpin pakatan pembangkan­g yang bermuka-muka dan sering memutar-belit fakta.

“Saya mengingatk­an supaya tidak sewenang-wenangnya tuduh Kerajaan Persekutua­n mahu gadai kedaulatan negara menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia