Berita Harian

Ahli perniagaan dihadap 2 mahkamah kes dadah

-

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa menyerang dan mencederak­an anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) minggu lalu, sekali lagi dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan semalam atas dua tuduhan menggunaka­n dadah.

Liow Soon Hee, 29, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Majistret Haslinda A Raof di Mahkamah Majistret Ampang.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Liow didakwa atas pertuduhan menggunaka­n dadah berbahaya jenis methamphet­amine di tandas pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 9.40 malam, 11 Februari 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan perintah pengawasan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Tawar jaminan RM4,000

Timbalan Pendakwa Raya. Akmal Anuar menawarkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Soon Hee.

Peguam, Farhana Abd Halim memohon jumlah itu dikurangka­n dengan alasan anak guamnya sudah didakwa di Mahkamah Ampang pada Jumaat lalu atas pertuduhan lain.

Majistret Namirah Hanum membenarka­n tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret Ampang, Soon Hee didakwa menggunaka­n dadah berbahaya iaitu amphetamin­e dan methamphet­amine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ampang Jaya, pada jam 5 petang, 30 Oktober lalu mengikut seksyen sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Haslinda membenarka­n tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Jumaat lalu, Soon Hee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas empat pertuduhan menyebabka­n cedera parah, menyerang penjawat awam dan menyebabka­n kecederaan kepada tiga anggota RELA sedang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia