Berita Harian

300 peniaga dikecuali bayar sewa sebulan

-

Melaka: Lebih 300 peniaga Pasar Besar Melaka Sentral yang ditempatka­n di Pasar Transit, Jalan Tun Fatimah di sini, sejak awal bulan ini, dikecualik­an daripada membayar sewa bulanan selama sebulan.

Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesejahter­aan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Datuk Wira Ismail Othman, berkata keputusan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu bagi membantu peniaga kerana terpaksa berpindah ke lokasi baharu susulan struktur bangunan pasar lama yang tidak selamat diduduki.

Katanya, bagi menambah keselesaan pengunjung, perkhidmat­an bas perantara Panorama disediakan dari Melaka Sentral ke Pasar Transit bagi setiap 15 minit dengan tambang RM1 sehala, selain teksi.

Semua peniaga sudah pindah

“Hari ini (semalam) kita dapat melihat hampir semua 300 peniaga sudah berpindah ke Pasar Transit yang dibina dalam tempoh hanya lima bulan dengan kos RM8.6 juta.

“Hasil kunjungan, kita melihat beberapa penambahba­ikan boleh dibuat termasuk penyediaan papan tanda arah dan lokasi gerai, saluran longkang kecil serta menambahka­n lagi kemudahan parkir bagi keselesaan pengunjung pada masa depan,” katanya selepas melawat pasar itu di sini, semalam.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Husin.

Pada 12 Ogos tahun lalu, BH melaporkan Pasar Besar Melaka Sentral berisiko runtuh disebabkan bangunan itu tidak mampu bertahan lama berikutan keadaan struktur asas tanahnya yang semakin mendap.

Tunggu laporan IKRAM

Perkara itu terkandung dalam laporan yang dikemukaka­n oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengenai tahap keselamata­n bangunan itu.

Mengenai status Pasar Besar Melaka Sentral pula, Ismail berkata, kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh IKRAM yang dijadualka­n siap dalam tempoh sebulan bagi meneliti status kebolehgun­aan tanah di kawasan itu.

 ?? [FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER/BH] ?? Ismail (dua dari kiri) bersama Zainal (kiri) melawat gerai di Pasar Transit, Bachang, semalam.
[FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER/BH] Ismail (dua dari kiri) bersama Zainal (kiri) melawat gerai di Pasar Transit, Bachang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia