Berita Harian

Old Lady rapati Napoli di puncak

-

Milan: Juventus merapatkan jurang ke puncak Serie A, selepas merakam kemenangan 2-1 ke atas kelab tercorot, Benevento ketika pendahulu liga, Napoli sekadar seri tanpa jaringan dengan Chievo, dalam saingan kelmarin.

Dalam aksi itu, gol jaringan Amato Ciciretti di babak pertama (minit ke-19) meletakkan Benevento di depan dan mengejutka­n skuad The Old Lady.

Benevento kelihatan mampu untuk mencalar sambutan ulang tahun ke-120 Juve apabila Ciciretti meledak hasil sepakan percuma menewaskan Wojciech Szczesny - menyaksika­n Juventus ketinggala­n buat kali pertama dalam kempen musim ini.

Namun, Gonzalo Higuain dan Juan Cuadrado masing-masing berjaya meledak jaringan pada minit ke-57 dan ke-65 untuk membolehka­n juara enam kali itu meraih tiga mata berharga.

Higuain melakukan sepakan voli yang tepat menuju ke penjuru gawang untuk gol penyamaan sebelum Cuadrado memastikan gol kemenangan melalui tandukan.

Napoli pula sekadar seri 0-0 di Verona dan meraih 32 mata daripada 12 perlawanan, - satu mata di depan Juventus yang memintas Inter Milan (kini di tangga ketiga), manakala Inter pula sekadar seri 1-1 menentang Torino.

Pendatang baharu

Kekalahan kelmarin menyaksika­n pendatang baharu, Benevento yang digelar ‘Le Streghe’ (Ahli Sihir) kini tewas semua 12 aksi dalam kempen musim ini menyamai rekod permulaan musim paling buruk dalam lima liga utama Eropah yang dialami Manchester United pada 1930.

“Ia kelihatan tidak begitu baik, tetapi kami perlu bertenang, lebih tajam dan tidak gopoh,” kata jurulatih Juventus, Massimilia­no Allegri.

“Semua perlawanan adalah sukar,” kata Allegri. “Memenangi perlawanan bukannya mudah atau boleh diambil mudah.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia