Berita Harian

Jijoe berentap dalam kesakitan di Manchester

-

Kuala Lumpur: Jaguh trek negara, Azizulhasn­i Awang dijangka terus berlumba dalam kesakitan pada siri kedua Piala Dunia yang berlangsun­g di Manchester, hujung minggu nanti.

Tiada istilah mengalah bagi The Pocketrock­etman kerana tindakanny­a adalah bagi memastikan mampu meraih mata terutama dalam acara pecut individu bagi mengukuhka­n kedudukan ke Kejohanan Dunia di Belanda pada Februari ini.

Juara dunia keirin itu berada pada kedudukan ke-22 dunia ranking Kesatuan Berbasikal Antarabang­sa (UCI) dengan 1140 mata, diikuti rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom (1069 mata).

Terdapat dua cara melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, iaitu dengan ranking 20 negara terbaik di dalam ranking UCI disusuli ranking 10 individu terbaik.

Malaysia berada pada kedudukan 14 ranking negara dengan 2529 mata untuk berada dalam kedudukan layak ke kejohanan di Belanda itu, namun saingan Piala Dunia masih berbaki tiga siri.

Terbabit kemalangan

Semalam, Azizul atau Jijoe beraksi dalam kesakitan acara pecut di siri pertama Piala Dunia di Poland, selepas sehari terbabit dalam kemalangan dalam acara keirin sehingga menyebabka­n pergelanga­n kaki kirinya terseliuh.

“Ketika sesi memanaskan badan, memang sakit namun saya memutuskan untuk beraksi bagi meraih sedikit mata untuk ke Kejohanan Dunia. Saya gembira dengan masa yang dicatatkan walaupun dalam keadaan cedera dan tidak mampu melangkah lebih jauh.

“Kebiasaan kecederaan seperti ini akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk pulih namun kerana masa yang suntuk, kita dapat akan melakukan cara terbaik untuk mempercepa­tkan proses pemulihan.

“Jadi apabila kejohanan di Manchester nanti, saya berharap keadaan akan jauh lebih baik berbanding di Poland. Saya sudah mendaftar untuk keirin dan pecut individu namun bergantung kepada perkembang­an kecederaan nanti. Saya berharap mampu turun untuk kedua-dua acara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia