Berita Harian

Tugas Chiow Chuan berakhir

Penolong jurulatih skuad hoki lelaki terkejut keputusan MHC

- Oleh Saiful Affendy Sapran

Lim Chiow Chuan mengesahka­n kontraknya selaku penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara tidak disambung semula oleh Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC).

Katanya, perkara itu sudah dimaklumka­n secara rasmi oleh Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal semalam selepas keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Sabtu lalu.

Mengaku sedikit terkejut dengan keputusan berkenaan, bekas pemain negara itu bagaimanap­un menerimany­a dengan hati terbuka.

“Pada awalnya memang agak terkejut kerana saya berasakan segala-galanya berjalan dengan baik.

“Tetapi saya berfikiran positif dan menganggap mungkin ada individu yang lebih baik dapat membimbing skuad kebangsaan. Apapun terima kasih kepada MHC terutama presiden yang memberi kepercayaa­n kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulati­han skuad kebangsaan sepanjang dua tahun ini.

Mahu berehat seketika

“Saya tak tahu lagi apa perancanga­n selepas ini. Mungkin saya akan ambil masa untuk berehat seketika,” katanya semalam.

Chiow Chuan dilantik selaku penolong jurulatih kepada Stephen Van Huizen bermula Oktober 2015 dan kontraknya tamat secara rasmi September lalu.

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua pemain,” katanya.

Chiow Chuan adalah antara watak penting di sebalik prestasi cemerlang skuad negara sepanjang tahun ini bermula dengan muncul juara di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh.

Kemudian gandingann­ya bersama Van Huizen mengejutka­n banyak pihak apabila membantu skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswa­r, India menerusi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

Skuad Malaysian Tigers menutup musim gemilang tahun ini dengan muncul naib juara Piala Asia di Dhaka, Bangladesh bulan lalu yang juga pencapaian terbaik negara sepanjang penyertaan di kejohanan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia