Berita Harian

Banjir tidak jejas persiapan pasukan Pulau Pinang

- Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persiapan pasukan Pulau Pinang menghadapi perlawanan akhir bola sepak Piala Emas Raja-raja Ke-77, Sabtu ini tetap berjalan lancar biarpun negeri itu kini ‘lumpuh’ dilanda banjir terburuk sejak Sabtu lalu.

Pengendali pasukan, Abdul Rahim Hassan berkata, sesi latihan pasukan diteruskan menurut jadual harian di Padang Sekolah Penang Free sejak dua hari lalu dengan fokus pemain tetap berada pada tahap terbaik.

“Alhamdulil­lah tempat latihan kami tidak terjejas dengan banjir dan persiapan pasukan berjalan seperti biasa dari segi mental dan fizikal.

“Pemain dahagakan kejuaraan dengan matlamat ke Kota Bharu untuk membawa pulang Piala Emas Rajaraja ke Pulau Pinang,” katanya yang juga bekas bek tengah negeri itu.

Anak-anak buahnya yang mengatasi Selangor 1-0 secara agregat dalam separuh akhir, bakal berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV dalam perhitunga­n muktamad pemilik trofi yang hampir serupa Piala Malaya (kini Malaysia) itu.

Hilang seorang bek kanan

“Kami juga akan menjalani perlawanan pemanas badan bagi mendapatka­n momentum, kecergasan dan keyakinan pemain khususnya yang simpanan supaya tidak terlalu jauh dengan kesebelasa­n utama.

“Esok kami akan menentang skuad Bawah 17 Tahun Sekolah Sukan Mutiara Impian, Pulau Pinang,” katanya yang turut menganggot­ai skuad juara Piala Emas Raja-raja 2002 dengan menewaskan Kedah 2-1 di Alor Setar.

Kata Rahim, Kelantan diakui sebuah pasukan yang mempunyai momentum dan dipersiapk­an lebih rapi selain sudah sinonim dengan Piala Emas Raja-raja yang sudah dijulangny­a sebanyak 13 kali.

“Kami hanya buat persediaan selama tiga bulan bagi menghadapi kejohanan ini sedangkan lawan diwakili kelab MPKB-BRI-UBES yang sudah beraksi dalam Liga FAM musim ini,” katanya.

Namun tegasnya, Pulau Pinang sudah mengutip banyak pengajaran dan matang daripada pertemuan Kumpulan D Piala Emas Raja-raja yang menyebelah­i Kelantan 2-0 di Stadium USM, 20 September lalu.

“Kami kehilangan seorang bek kanan kerana dibuang padang dalam perlawanan kontrovers­i itu dan kebanyakan pemain hilang fokus namun situasi perlawanan akhir nanti pasti jauh berbeza. Lagipun kami sudah kenal pasti kelemahan tertentu untuk diperbaiki,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia