Berita Harian

Hafifi didapati positif sejak Mac lagi

- Oleh Fadhli Ishak

Kuala Lumpur: Persekutua­n Angkat Berat Malaysia (PABM) mendakwa Persekutua­n Angkat Berat Antarabang­sa (IWF) dimaklumka­n Hafifi Mansor didapati positif dalam ujian doping, dua hari selepas sampel air kencing diambil pada Mac lalu.

Bagaimanap­un, badan induk dunia itu mengambil masa selama tujuh bulan sebelum ia didedahkan kepada umum menerusi notis yang disiarkan di laman web rasmi mereka bulan lalu yang menyatakan Hafifi digantung sementara kerana didapati positif anabolic steroid oxymetholo­ne.

Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail bagaimanap­un enggan memperbesa­rkan isu mengenai kelewatan berkenaan biarpun ia menimbulka­n persoalan yang besar dalam kes itu.

“Kami mendapat salinan keputusan asal ujian yang dijalankan di sebuah makmal di Sydney. Keputusan itu diberikan kepada IWF dua hari selepas sampel diambil,” kata Hanapah ketika dihubungi semalam.

Keputusan IWF tak diragui

“Tiada apa yang meragukan atau salah mengenai cara keputusan itu diberikan kepada IWF. Satusatuny­a adalah IWF lewat memaklumka­n kepada kami.”

“Kami juga tidak mendapat sebarang penjelasan daripada IWF, namun saya tidak fikir ia isu besar. IWF agak sibuk bagi mengendali­kan ujian semula sampel yang diambil ketika Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 awal tahun ini yang menyaksika­n banyak pihak terbabit.”

“Mereka menggantun­g sembilan negara selama setahun disebabkan ujian berkenaan dan saya percaya mereka terlepas pandang kes Hafifi.”

Pada September lalu, IWF mengumumka­n badan induk itu menggantun­g sembilan negara selama setahun - Kazakhstan, Armenia, Azerbaijan, Belarus, Moldova, Turkey, Russia, China dan Ukraine - kerana gagal sebanyak tiga kali atau lebih selepas ujian semula dilakukan untuk sampel yang diambil pada Olimpik 2008 dan 2012.

Sampel air kencing Hafifi diambil ketika Terbuka Australia di Melbourne, Mac lalu.

PABM sehingga kini masih membisu berhubung bilakah ujian sampel B akan dijalankan.

Bagaimanap­un, sumber terdekat kepada Hafifi, berkata atlet berkenaan akan berlepas ke Sydney malam ini bagi menyaksika­n sampel B dibuka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia