Berita Harian

Fokus tampil aksi terbaik

Vingada sasar enam mata penting buka laluan Harimau Malaya

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Enam mata penting menjadi sasaran jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada pada dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-mobile, Buriram, Thailand pada Jumaat dan Isnin ini.

Dia bagaimanap­un enggan terlalu memikirkan mengenai sasaran itu, sebaliknya lebih selesa untuk memberi fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Jika anda tanya saya (mengenai sasaran berdepan Korea Utara), selepas apa yang berlaku ketika berdepan Hong Kong, peluang untuk kami melepasi peringkat kelayakan masih terbuka.

“Tetapi kami perlukan kemenangan kedua-dua perlawanan ini kerana jika menang, kami berada pada landasan terbaik untuk menghidupk­an peluang mara ke pusingan akhir.

Senarai 23 pemain

“Tetapi kami perlu fokus untuk aksi pertama dulu dan perlu tampil dengan aksi terbaik. Kami perlu menjaringk­an gol selain bertahan dengan baik untuk mencipta kemenangan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), petang semalam.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan tercorot Kumpulan B selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan sebelum ini.

Vingada menyenarai­kan 23 pemain yang akan terbang ke Buriram, hari ini dengan tonggak tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar dan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Darren Lok digugurkan pada saat akhir kerana kecederaan.

Tempat dua pemain itu akan digantikan dengan Khairil Anuar Zamri dan Hadin Azman daripada FELDA United.

Seorang lagi tonggak JDT, Junior Eldstal juga tidak melaporkan diri bersama skuad kebangsaan, namun Vingada memilih untuk tidak memanggil pemain lain sebagai pengganti.

Malah, Vingada enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai punca Eldstal tidak melaporkan diri.

“Junior meminta pelepasan untuk tidak bersama skuad kebangsaan kali ini atas sebab tersendiri dan saya tidak boleh mengulas lanjut.

“Tetapi dengan skuad yang ada ketika ini, bagi saya sudap cukup untuk kami berdepan Korea Utara,” katanya.

Pada sesi latihan petang semalam, hanya 13 pemain melaporkan diri dengan 10 lagi tonggak JDT bersama pasukan malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia