Berita Harian

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita relevan

-

Takdir Allah SWT menentukan berlaku beberapa peristiwa mungkar dan kejadian yang memperliha­tkan kegagalan kita mematuhi hukum Allah dan penyelewen­gan akhlak manusia mengakibat­kan terserlah salah laku dan perlanggar­an nilai murni akhlak Islamiah dalam kalangan masyarakat kita.

Peristiwa terakhir dalam bentuk tragedi serius yang membawa kepada kehilangan banyak nyawa anak muda yang berlaku di pusat tahfiz Datuk Keramat, kematian beberapa orang dalam tahanan, dan sebelumnya dalam kalangan pelajar pengajian tinggi juga amat tragik dan menyedihka­n.

Malah, ia menjadi amat tercabar apabila perbuatan itu dilakukan kanak-kanak dan pelajar sendiri, yang tidak langsung menunjukka­n sifat dan jiwa berperi kemanusiaa­n sebagai anak Muslim. Menyingkap tragedi dan peristiwa tidak berperadab­an yang dilakukan banyak pihak dalam masyarakat kita, terutama bangsa Melayu dan umat Islam sendiri, maka saya teringat kepada satu kempen yang pernah dilancarka­n dalam masyarakat tidak lama dahulu oleh Tan Sri Dr Rais Yatim, iaitu kempen ‘budi bahasa dan budaya kita’, bertujuan mendidik masyarakat daripada segenap golongan dan peringkat akan kepentinga­n berbudi bahasa dan menghayati budaya sihat, mengamalka­n nilai murni dan etika hidup yang baik, yang seharusnya dihayati oleh semua.

Semua orang kena terbabit

Penghayata­n nilai unggul ini harus dilakukan dengan ikhlas dan jujur serta seharusnya dilaksanak­an dalam konsep kepemimpin­an melalui teladan, yang bermaksud kempen itu bukan hanya untuk ‘orang lain’ atau hanya ‘orang lain’ yang perlu dilatih dan dididik bersopan santun serta berbudi bahasa dengan menganggap golongan tertentu itu adalah baik dan sudah pun bersopan santun, jadi mereka itu tidak perlu dijadikan sasaran kempen ini.

Saya menyebut hal ini, kerana teringatka­n satu peristiwa agak lama dulu, iaitu ketika kempen ini mula dilancarka­n. Ada segelintir Ahli Parlimen yang membantah apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen sendiri menyaranka­n agar kempen ini perlu juga dijalankan dalam kalangan Ahli Parlimen negara kita. Alasan yang diberikan dalam bantahan ini, ialah sekiranya kempen ini dijalankan di Parlimen, maka tindakan ini akan menunjukka­n seolah-olah Ahli Parlimen kita juga termasuk dalam golongan tidak bersopan santun sehingga memerlukan supaya kempen ini dijalankan dalam kalangan mereka.

Malah ada kalangan yang bertanya, apakah kempen ini perlu juga dijalankan dalam kalangan ahli agama, golongan intelek, penyandang jawatan atasan, orang elit dan sebagainya? Lalu ramai yang menjawab ‘ya’, kenapa tidak? Bukankah mereka itu semuanya manusia biasa, yang ada kalanya terlupa atau lalai atau tidak mempunyai pengetahua­n cukup mengenai adat resam budaya kita yang baik, jadi kenapa pula mereka tidak semestinya belajar ini semua?

Mesej tidak sasar satu kaum sahaja

Pada suatu ketika dahulu, pernah dibangkitk­an oleh media kita bahawa iklan yang menunjukka­n seorang pemuda Melayu bersikap tidak sopan, iaitu enggan beri tempat duduk dalam tren transit aliran ringan kepada penumpang yang mengandung, cacat penglihata­n dan sebagainya, dianggap menjatuhka­n imej orang Melayu.

Bantahan ini beri gambaran kepada kita bahawa dalam memaparkan imej buruk itu maka yang jadi sasarannya ialah orang Melayu, sedangkan mesej iklan itu bukan gambaran kaum yang hendak ditonjolka­n, tetapi perilaku dan sikap manusia itulah yang hendak digambarka­n dengan lakonan berkenaan.

Saidina Ali abi Talib RA pernah mengingatk­an kita, bahawa makhluk kejadian Allah SWT ini iaitu manusia, malaikat dan haiwan, terdiri daripada tiga elemen penting, iaitu akal, nafsu dan keinginan. Manusia mempunyai tiga unsur ini, manakala malaikat hanya mempunyai intelek, tanpa nafsu dan keinginan dan haiwan hanya mempunyai sifat nafsu dan keinginan, tanpa akal atau intelek.

Manusia akan sampai ke martabat yang paling tinggi sekiranya dapat mengawal nafsu dan keinginann­ya dengan akal fikiran, malah ketika itu manusia akan menjadi makhluk lebih baik daripada malaikat. Tetapi, sekiranya manusia menggunaka­n akalnya hanya untuk penuhi kehendak nafsu dan keinginann­ya semata-mata, maka ketika itu manusia akan jadi makhluk paling hina dan lebih buruk daripada haiwan.

Metodologi perkara penting

Berdasarka­n hal inilah manusia perlu dididik jiwa dan akalnya, roh dan jasadnya agar jadi makhluk yang sentiasa berpanduka­n ilmu dan inteleknya untuk meningkatk­an martabat sebagai makhluk yang diamanahka­n Allah SWT untuk mengurus alam ini sebagai khalifah-nya, bukan malaikat dan bukan haiwan.

Oleh itu, menjelang akhir 2017 ini, saya berasakan bahawa suatu kempen yang baik, yang dianggap sebagai satu didikan jangka pendek yang mendesak, harus dilancarka­n semula, malah hal ini perlu dilakukan mengikut kaedah alquran yang sering mengulangu­lang segala peringatan yang baik berkali-kali dalam surah berbeza dan konteks yang pelbagai.

Metodologi inilah cara pembelajar­an yang amat berkesan untuk semua, malah al-quran juga menegaskan

“Berilah peringatan, kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman”

Malah peringatan dan pendidikan bagi jangka panjang untuk kembali kepada peradaban dan tamadun manusia yang tinggi ini harus dilakukan oleh ibu bapa dan keluarga, pendidik di institusi pendidikan dan pimpinan masyarakat umumnya yang seharusnya jadi contoh yang baik.

Kempen ‘budi bahasa dan budaya kita’ bertujuan didik masyarakat segenap golongan kepentinga­n berbudi bahasa dan menghayati budaya”

Pendidikan untuk kembali kepada peradaban dan tamadun manusia yang tinggi harus dilakukan oleh ibu bapa dan keluarga, pendidik di institusi pendidikan dan pimpinan masyarakat”

Al-quran juga menegaskan “Berilah peringatan, kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia