Berita Harian

SPRM minta bantuan MLA siasat aset FIC

-

Kota Samarahan: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berusaha mendapatka­n Bantuan Perundanga­n Bersama (MLA) dari United Kingdom bagi membantu siasatan pembelian hotel di Kensington, London oleh Felda Investment Corporatio­n (FIC).

Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata permohonan untuk mendapatka­n bantuan pihak berkuasa di London itu akan dilakukan pihaknya menerusi Jabatan Peguam Negara.

Dijangka ambil masa panjang

Bagaimanap­un, katanya, proses siasatan berhubung pembelian hotel Park City di London oleh FIC itu dijangka mengambil masa agak panjang kerana ia membabitka­n kes yang berlaku di luar negara.

“Permohonan bantuan MLA itu kita akan buat untuk mendapatka­n keterangan daripada mereka yang berada di London dan selepas itu barulah kita boleh lengkapkan siasatan membabitka­n pembelian hotel berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpuna­n Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) Borneo 3.0 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, semalam.

FIC membeli hotel empat bintang yang mempunyai 62 bilik dan dua pangsapuri tiga bilik tidur dengan harga £98 juta (RM543 juta) pada tahun 2014. Bagaimanap­un, harga sebenar hotel berkenaan dianggarka­n £20 juta (RM110 juta).

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembelian sebuah hotel oleh FIC di Kuching pula, Dzulkifli berkata, siasatan kes itu kini sudah memasuki peringkat akhir dan dijangka selesai, tidak lama lagi.

FIC membeli hotel yang mempunyai 213 bilik dan pangsapuri mewah itu pada 2014 dengan harga antara RM40 juta dan RM50 juta yang dikatakan lebih murah daripada nilai pasaran sebenar.

Mengenai senarai kementeria­n paling banyak menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa pula, Dzulkifli berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam masa terdekat.

“Selepas berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung perkara itu, barulah kita akan mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia