Berita Harian

T-team, FELDA United tersepit

FMLLP turut bagi tempoh lanjutan untuk Sime Darby, Kuantan FA mendaftar

- Oleh Devinder Singh

Nasib FELDA United dan T-team dalam kancah Liga Super musim depan masih belum diketahui selepas tempoh untuk mengesahka­n penyertaan musim depan berakhir semalam.

FELDA United yang mengesahka­n hasrat mereka untuk beraksi dalam saingan elit tahun depan namun, tidak mendapat kelulusan daripada First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM.

Manakala T-team memohon penangguha­n selepas kerajaan negeri menegaskan hanya sebuah pasukan dari negeri itu boleh beraksi di Liga Super berikutan kejayaan Terengganu meraih tiket ke Liga Super.

Juara Piala FAM, Sime Darby dan Kuantan FA turut memohon penangguha­n bagi mengesahka­n penyertaan di Liga Perdana.

Pengendali Liga-m, Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memberikan T-team, Kuantan FA dan Sime Darby tempoh sehingga Rabu ini bagi mengesahka­n penyertaan.

Sah sebelum 31 Disember

“Sejumlah 21 pasukan sudah mengesahka­n penyertaan di Liga Super dan Perdana musim depan dengan T-team, Kuantan FA dan Sime Darby memohon tarikh lanjutan,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, semalam.

“Kuantan dan Sime Darby mahukan masa untuk mendapat kebenaran yang diperlukan manakala T-team tidak menyatakan sebarang alasan.

“Bagaimanap­un kami memberikan tempoh sehingga 22 November bagi ketiga-tiga pasukan mengesahka­n penyertaan, ” katanya.

Kevin menjelaska­n dia sedar masalah dihadapi T-team yang berjaya mengelak zon penyingkir­an pada hari terakhir musim 2017 yang tertekan dengan situasi sama ada dibubarkan atau beraksi di Liga Perdana.

“T-team tidak berkomunik­asi dengan kami secara rasmi tentang isu ini,” kata Kevin ketika ditanya mengenai kesukaran pasukan itu.

“Jika sesebuah pasukan gagal mengesahka­n penyertaan, kami akan mencari jalan alternatif. Ini termasuk mencari pasukan yang hampir mendapat tiket Liga Super namun sebarang pertukaran hanya boleh dilakukan Lembaga Pengarah FMLLP.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia