Berita Harian

Kondo harga lebih RM1 juta dibeku

Kabinet putuskan pembinaan projek kediaman, komersial mewah dihentikan sementara bagi mengawal lambakan hartanah tidak terjual serta mahu meningkatk­an pembinaan kediaman mampu milik bernilai RM300,000 ke bawah

- Oleh Syed Azwan Syed Ali

Semua projek pembinaan kondominiu­m dan premis komersial seperti ruang pejabat bernilai RM1 juta ke atas dibekukan sementara berkuat kuasa bulan ini.

Keputusan itu dibuat Kabinet pada 1 November lalu bagi mengimbang­i penawaran dan permintaan hartanah di negara ini kerana kebanyakan hartanah terbabit tidak laku ketika ini.

Susulan keputusan itu, kerajaan memutuskan akan menggiatka­n pembinaan rumah mampu milik bernilai RM300,000 ke bawah bagi memastikan rakyat mendapat kediaman.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarka­n minggu lalu mendapati peningkata­n hartanah kediaman tidak terjual, termasuk kondominiu­m, premis komersial seperti pejabat dan pusat membeli belah.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pembekuan sementara hartanah bernilai melebihi RM1 juta itu bagi membolehka­n kerajaan mengkaji semula strategi pembanguna­n hartanah supaya ia tidak memberikan kesan kepada ekonomi negara.

Seimbangka­n permintaan, penawaran

“Permintaan rumah mampu milik sebenarnya mencecah 48 peratus, tetapi penawaran hanya 24 peratus. Kita nak seimbangka­n dalam soal ini dan banyak rumah yang tidak terjual itu melebihi RM250,000,” kata Johari.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan BNM mengenai peningkata­n hartanah kediaman tidak terjual selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah UEMPLUS di Pusat Komuniti Taman Maluri di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad, Datuk Izzaddin Idris dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail yang menyaksika­n penyampaia­n sumbangan kelengkapa­n persekolah­an kepada 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Parlimen Titiwangsa.

BNM dalam laporan bertajuk Ketidaksei­mbangan Dalam Pasaran Hartanah mendedahka­n pada suku pertama 2017, jumlah hartanah kediaman tidak terjual adalah sebanyak 130,690 unit, jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad dan ia hampir menyamai dua kali purata dalam sejarah yang pernah tercatat sebanyak 72,239 unit setahun antara 2004 hingga 2016.

Kira-kira 83 peratus unit tidak terjual itu dalam kategori harga melebihi RM250,000, dengan sebanyak 61 peratus daripadany­a adalah bangunan tinggi.

Johor mempunyai unit kediaman tidak terjual yang terbesar (27 peratus), diikuti Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

Menurut BNM, lambakan hartanah itu di negara ini boleh menjadi teruk jika ketidaksei­mbangan penawaran dan permintaan semasa berterusan.

 ?? [FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] ?? Johari bersama Izzaddin dan Azman serta sebahagian kanak-kanak pada Program Kembali Ke Sekolah UEM-PLUS di Pusat Komuniti Taman Maluri, semalam.
[FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI/BH] Johari bersama Izzaddin dan Azman serta sebahagian kanak-kanak pada Program Kembali Ke Sekolah UEM-PLUS di Pusat Komuniti Taman Maluri, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia