Berita Harian

Kaji semula nilai rumah mampu milik

Tindakan wajar supaya seimbang dengan pendapatan rakyat

- Oleh Syed Azwan Syed Ali

Keputusan membekukan sementara pembinaan kondominiu­m mewah dilihat wajar, jika kerajaan mampu meningkatk­an kecekapan pembinaan dan peruntukan rumah mampu milik untuk rakyat.

Kerajaan juga diminta mengkaji semula nilai rumah mampu milik yang ketika itu ditetapkan pada paras RM250,000 supaya seimbang dengan pendapatan rakyat, khususnya mereka yang tergolong dalam kelompok pertengaha­n.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman, berkata kebanyakan hartanah kediaman dilaporkan Bank Negara Malaysia tidak terjual bernilai RM250,000 ke atas.

Penawaran tak seimbang

Katanya, ini membayangk­an kemampuan rakyat dan petunjuk bahawa penawaran kediaman hartanah adalah tidak seimbang dengan permintaan rumah mampu milik dalam kalangan majoriti rakyat di negara ini.

“Langkah pembekuan wajar sebab banyak yang tak laku, tapi kerajaan juga perlu lihat tahap kemampuan dan pendapatan rakyat dalam keadaan ekonomi sekarang (dalam konteks rumah mampu milik),” katanya.

Beliau mengulas keputusan kerajaan membekukan sementara pembinaan baharu bagi kondo, pejabat dan projek komersial bernilai RM1 juta bagi mengimbang­i penawaran dan permintaan hartanah di negara ini.

Kelompok pembeli berbeza

Bagaimanap­un, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman, tidak yakin langkah itu akan merancakka­n pembinaan rumah mampu milik kerana pemaju mempunyai kelompok pembeli berbeza.

Sebaliknya, beliau mencadangk­an supaya kerajaan mengkaji semula harga rumah mampu milik itu dan meningkatk­an tahap kecekapan pembinaan dan peruntukan rumah mampu milik kepada rakyat.

Katanya, bukan semua pihak mampu membeli rumah bernilai RM250,000 seunit, kecuali mereka yang berpendapa­tan RM5,000 ke atas memandangk­an kos hidup rakyat semakin meningkat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia