Berita Harian

Majoriti setuju Sultan Johor ketua agama Islam yang baik

Kajian dapati 91 peratus orang Melayu mahu JAKIM bertanggun­gjawab pantau tingkah laku orang Islam

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Kaji selidik dijalankan Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas)-institut Yusof Ishak yang berpangkal­an di Singapura, mendapati 94 peratus orang Melayu bersetuju Sultan Johor adalah ketua agama Islam yang baik.

Malah secara keseluruha­nnya, 74 peratus daripada 2,011 responden, termasuk kaum Cina (52 peratus) dan kaum India (45 peratus) turut bersetuju dengan pandangan itu.

“Kesultanan Johor sangat unik kerana baginda adalah antara beberapa Raja Melayu yang mempunyai bidang kuasa terhadap urusan berkaitan agama Islam dan isu berkaitan, selain mufti.

“Bagaimanap­un, mereka tidak bersetuju sepenuhnya dengan pandangan baginda mengenai meniru cara orang Arab berpakaian, birokrasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Islamisasi,” menurut kaji selidik itu yang disiarkan pada 10 November lalu.

Ia boleh dibaca menerusi laman web ISEAS-YUSUF Ishak Institute di https://www.iseas.edu.sg/images/pdf/iseas_perspectiv­e_2017_83.pdf.

Seramai 2,011 responden di Johor merangkumi 1,104 atau 55 peratus kaum Melayu, Cina (758 atau 38 peratus) dan India (149 atau tujuh peratus) menjadi responden yang ditemubual menerusi telefon antara Mei dan Jun lalu.

Kaji selidik itu mendapatka­n pandangan mereka mengenai peranan Islam, pentadbira­n dan Kesultanan Johor.

75 peratus sokong laksana hudud terhadap Muslim

Dalam kajian itu, 91 peratus orang Melayu bersetuju JAKIM patut bertanggun­gjawab memantau tingkah laku orang Islam dan 75 peratus menyokong pelaksanaa­n hukum hudud terhadap orang Islam.

Malah, 57 peratus responden Melayu yang ditanya, turut mahu hudud dilaksanak­an kepada seluruh rakyat Malaysia, tetapi hanya dua peratus kaum Cina dan 10 peratus kaum India bersetuju dengan cadangan itu.

Sementara itu, 89 peratus kaum Melayu percaya Malaysia adalah negara Islam berbanding hanya 34 peratus kaum Cina dan 28 peratus lagi kaum India.

Sebanyak 84 peratus orang Melayu turut bersetuju, orang Islam sepatutnya menduduki kerusi dalam kerajaan negeri dan 90 peratus daripada mereka menyokong usaha meningkatk­an syiar Islam adalah satu pembanguna­n positif kepada Malaysia.

Bagaimanap­un, 79 peratus kaum Cina dan 68 peratus kaum India tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia