Berita Harian

Limpahan projek mega beri manfaat 3 negeri

-

Seremban: Pembinaan stesen Keretapi Berkelajua­n Tinggi Kuala Lumpur Singapura (KLSG HSR) di Labu di sini, bakal memberi manfaat besar kepada pembanguna­n projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV) di Seremban dan Nilai.

Mengikut pelan pembanguna­n MVV yang dilaksanak­an bermula tahun lalu sehingga 2045, Seremban bakal menjadi kluster Pusat Daerah Perniagaan, manakala Nilai pula termasuk dalam kluster Pendidikan Teknologi.

Jadi, lokasi pembinaan stesen HSR di Mukim Labu yang terletak berhampira­n dua kawasan terbabit, dianggap amat strategik kerana membuka pintu masuk antarabang­sa baharu, sekali gus memudahkan akses pengangkut­an awam serba lengkap dan efisien.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata stesen HSR berkenaan akan menjadi hab pengangkut­an bersepadu yang penting dalam kawasan MVV kelak.

“Saya yakin stesen ini menjadi stesen sibuk di tengah kawasan MVV dan berharap, perkhidmat­an komuter atau Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menghubung­kan stesen ini ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibina selepas ini,” katanya.

Penambahba­ikan jalan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Hasim Rusdi, pula berkata projek KLSG HSR itu akan dilaksanak­an seiring pembanguna­n projek jalan baharu dan penambahba­ikan rangkaian jalan sedia ada.

“Labu akan menjadi kawasan yang ada rangkaian jalan dan pengangkut­an awam serba lengkap serta cekap, seterusnya menjadi faktor utama pembanguna­n lebih pesat di sini dan kawasan sekitar.

“Hasilnya, penduduk Labu dan kawasan berhampira­n termasuk Nilai serta Seremban dapat menikmati pelbagai manfaat limpahan ekonomi daripada pembinaan stesen HSR,” katanya.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Kampung Pasir Putih Batu 8 Labu, Abd Bazin Ahmad, 62, berkata stesen HSR akan dibina kirakira tiga kilometer dari kampung itu.

“Kita percaya nilai hartanah akan meningkat, malah banyak kemudahan industri pelanconga­n akan dibina di sini,” katanya.

Di Melaka, ADUN Durian Tunggal, Datuk Ab Wahab Ab Latip, berkata pembinaan stesen HSR Melaka di Durian Tunggal, Alor Gajah, bakal memacu pertumbuha­n ekonomi baharu, termasuk menjadi hab pengangkut­an bersepadu bagi kereta api dan jalan raya secara keseluruha­nnya.

“Kewujudan stesen HSR Melaka dengan rekaan futuristik berbentuk kapal dagang, bakal mengubah landskap pekan ini dan meningkatk­an populasi penduduk yang dianggarka­n 50,000 orang,” katanya.

Pengerusi JKKK Padang Keladi, Ismail Dogol pula, berkata kewujudan stesen baharu HSR di negeri ini akan memberi limpahan pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

“Pelaksanaa­n stesen HSR Melaka dijangka berhampira­n Kampung Padang Keladi akan melengkap dan memperkuku­hkan prasarana awam serta mewujudkan kesalinghu­bungan pantas, cekap dan tepat secara berjadual,” katanya.

Pengerusi JKKK Bukit Balai, Yahya Md Yusof pula berkata, pekan itu akan terus membangun, terutama dengan wujudnya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) yang melonjakka­n pembinaan perumahan baharu di kawasan itu.

Sementara itu, di Johor, Pengerusi Jawatankua­sa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata projek KLSG HSR akan memberi kelebihan dari aspek pelanconga­n apabila lebih ramai pelancong mengunjung­i tempat menarik di Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Katanya, dari sudut ekonomi, projek HSR dijangka menarik lebih ramai pelabur, sekali gus meningkatk­an pelaburan langsung asing dan membuka peluang pekerjaan di Johor.

“Ia dapat dilaksanak­an menerusi pembinaan banyak pusat perniagaan dan komersial, sektor pelanconga­n serta industri perkhidmat­an sokongan.

“Projek ini juga satu peluang besar kepada kontraktor terutama Bumiputera mengambil bahagian dalam pelaksanaa­nnya. Kerajaan Johor menerusi Pusat Pembanguna­n Kontraktor Johor (JCCD) akan melatih lebih 300 kontraktor Bumiputera dalam sektor berkaitan rel sebagai persiapan merebut limpahan projek pembinaan pengangkut­an mega itu di negeri ini.

“Ini kerana sektor pengangkut­an itu memerlukan kelompok kontraktor Bumiputera mahir dan pakar bagi melaksanak­an kerja penyelengg­araan, baik pulih dan pelbagai perkhidmat­an apabila beroperasi kelak,” katanya.

Merangka format latihan

Hasni berkata, JCCD akan bekerjasam­a dengan pelbagai pihak termasuk Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi merangka format latihan bidang berkaitan projek HSR yang bakal mendominas­i sebahagian sektor pengangkut­an awam masa depan di Johor.

Ketua Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad pula berkata, pelaksanaa­n tiga daripada lapan stesen di Johor mampu memberi perubahan dan impak besar kepada ekonomi setempat.

Katanya, pembinaan stesen utama HSR di Iskandar Puteri memberi limpahan rezeki penduduk di kampung itu, selain menggalakk­an pelbagai kegiatan ekonomi.

“Kampung Sungai Melayu yang mempunyai kekuatan dari aspek ekopelanco­ngan dapat diketengah­kan dan dikenali ramai dengan terbinanya stesen HSR tidak jauh dari kampung ini,” katanya.

Peniaga warung di Mukim Panchor, Anuar Jaafar, 68, berkata projek HSR dijangka meningkatk­an lagi kepesatan pembanguna­n setempat.

“Kami berharap KLSG HSR memberi keutamaan kepada penduduk setempat dan membangunk­an kawasan seperti Pekan Lenga, Pekan Gombang dan Bukit Kepong,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia