Berita Harian

‘Marilyn Monroe’ nyanyi lagu Melayu

Berasal dari Melbourne, Cassidy Anderson nekad pertaruh bakat di Malaysia

- Oleh Syarrizuan Abdul Rashid

Ketika ramai artis tempatan menyimpan angan-angan mencuba nasib di luar negara, siapa sangka artis Inggeris ini memilih Malaysia sebagai tapak mencipta nama.

Wanita kelahiran Melbourne, Australia, Cassidy Anderson, 30, nekad ‘terbang’ ke Malaysia sejak Januari lalu bagi merealisas­ikan impiannya menjadi penyanyi. Lebih unik, Cassidy mahu dikenali sebagai penyanyi lagu Melayu.

Segala-galanya bermula apabila pada suatu hari, Cassidy mendengar lagu Melayu melalui saluran Youtube lalu terus terpikat.

Akui wanita ini, melodi lagu Melayu sangat indah dan mempunyai jiwa yang kuat hingga melekat di hati pendengar. Sejak detik itu, Cassidy mula menyanyika­n semula lagu Melayu dan memuat naik setiap dendangan di laman sosial.

“Saya masih ingat lagu Melayu pertama yang saya nyanyikan adalah Ombak Rindu yang dikongsi di laman sosial. Saya tidak sangka ia mendapat sambutan baik.

Terpaut lagu Melayu

“Ramai memuji dan meminta saya mendendang­kan lagi lagu Melayu,” katanya pada sesi fotografi di Studio The New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejak hatinya terpaut dengan lagu Melayu, Cassidy berusaha mencari guru untuk mendalami bahasa Melayu. Ini menemukan dirinya dengan seorang rakyat Malaysia kelahiran Sabah di Australia.

Bercerita lanjut, wanita berambut perang ini memberitah­u, dia menyambung pembelajar­an dengan seorang guru yang menetap di Shah Alam, Selangor, melalui aplikasi Skype.

“Saya ambil masa selama se- tahun setengah untuk menguasai bahasa Melayu asas. Saya memang tekun belajar.

“Ketika itu, saya sudah tanamkan azam untuk mencuba nasib ke Malaysia dan mujurlah keluarga saya memberi restu,” katanya bersungguh-sungguh.

Hendak dijadikan cerita, Januari lalu, Cassidy membulatka­n tekad memulakan kelana muziknya di negara ini. Dia ‘terbang’ ke Kuala Lumpur tanpa mengenali sesiapa.

“Saya nekad dan mahu mencari ruang mempertaru­hkan bakat saya di Malaysia.

“Saya terkejut dengan budaya masyarakat di Malaysia yang sangat pemurah dan baik hati membantu. Apa yang membuatkan saya kagum mereka sangat mahir dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Siti Nurhaliza jadi idola

Hampir setahun menetap di Malaysia, Cassidy mengaku hatinya sudah jatuh hati dengan negara ini yang disifatkan sangat harmoni dan kaya dengan budaya.

Aura positif yang dirasainya itu membuatkan Cassidy mahu berusaha lebih keras memperbaik­i bahasa Melayu. Sehubungan itu, dia sering bertutur dalam bahasa Melayu dengan masyarakat tempatan.

“Kadangkala saya tertawa apabila melihat wajah mereka hairan apabila saya bercakap Melayu. Saya lebih tertawa apabila mereka keliru dan membalasny­a dalam bahasa Inggeris.

“Saya berusaha untuk memperbaik­i semua aspek dan memahami budaya masyarakat di Malaysia,” katanya yang meminati penyanyi Adele, Cia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Malique.

Usaha Cassidy mencipta nama dalam dunia seni ternyata tidak siasia apabila ditawar merakamkan single ciptaan penyanyi Hael, Mike Chan dan Ezra Kong berjudul Seperti Dia.

 ?? [ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] ??
[ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia