Berita Harian

‘Kedah sudah diberi peluang’

FAM, FMLLP harap tiada pihak tuduh mereka tidak beri layanan adil kepada Kedah

- Oleh Syed Riduan Ahmad

Kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menghantar penyata kewangan beraudit kelab kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum tarikh tutup, memaksa Kedah untuk melupakan hasrat bertanding dalam saingan Piala AFC tahun depan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan semalam, hanya kelab-kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen AFC dan kebangsaan.

“Berhubung isu Kedah, sudah jelas dan nyata yang hanya kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang telah ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen (AFC dan kebangsaan). Oleh itu, hanya dokumen yang dimuat naik dalam Sistem Pentadbira­n Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM akan diteliti bagi memastikan lesen diberikan adalah benar-benar tepat,” kata Hamidin.

“Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. AFC juga jelas menyatakan bahawa tiada dokumen luar dari sistem CLAS yang boleh dipertimba­ngkan. Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan.

“Badan Rayuan (AP) Pelesenan Kelab FAM memilih untuk menerima penyerahan lewat penyata kewangan diaudit oleh Kedah bagi memberi mereka ruang untuk dipertimba­ngkan bagi mendapatka­n lesen kelab di peringkat kebangsaan. Perkara ini dibenarkan kerana dalam peraturan terbabit terdapat pengecuali­an boleh dibuat dalam pemberian lesen kebangsaan.

Elak hukuman AFC

“Bagaimanap­un, jika Lesen AFC turut diberikan dalam situasi ini, ia jelas satu tindakan yang tidak betul kerana mengikut rekod dalam sistem CLAS, tiada penyata kewangan diaudit yang telah dihantar oleh Kedah.

“Jadi adalah satu keputusan yang betul untuk tidak memberikan Lesen AFC kepada Kedah dan mencalonka­n pasukan lain yang telah pun memiliki Lesen AFC untuk mengisi slot ke Piala AFC. Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkina­n audit daripada pihak AFC bakal mendapati yang lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman.

“FAM dan FMLLP (Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) sama-sama berharap tiada sebarang teori konspirasi atau khabar angin mengatakan yang Kedah tidak diberi layanan yang adil. Kami sendiri cukup berharap yang Kedah akan dapat mengambil bahagian dan berjaya.

“Memang FAM dan FMLLP mahukan pasukan yang terkuat untuk mewakili Malaysia pada Pertanding­an Kelab AFC bagi memastikan kita dapat mengumpul mata ranking yang baik bagi penyertaan pada masa akan datang.

“Namun Kedah sudah pun diberikan banyak peluang untuk memenuhi keperluan peraturan sebelum tarikh ditetapkan FIB itu dan meskipun mereka gagal mendapatka­n Lesen AFC, mereka berjaya juga mendapatka­n lesen kebangsaan untuk beraksi pada Liga Super 2018.”

Menurut Hamidin, KFA sudah diberi surat oleh FAM bertarikh 1 November 2017 berhubung keputusan dibuat oleh Badan Rayuan yang menyatakan mereka hanya diberi kelulusan untuk Lesen Kelab FAM, manakala masih gagal untuk Lesen Kelab AFC yang membawa maksud Kedah tidak layak untuk beraksi pada pertanding­an Piala AFC 2018, sekali gus menafikan dakwaan di media yang mereka langsung tidak diberitahu mengenai hal ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia