Berita Harian

Polis siasat jika gajah ditembak guna bakakuk

-

Sandakan: Polis akan membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah menyiasat kes kematian gajah Pygmy Borneo di negeri ini.

Pesuruhjay­a Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata ia termasuk kes terbaru seekor gajah jantan yang ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Cenderamat­a, Selasa lalu.

Selain membantu usaha mengesan suspek, katanya, siasatan polis menjurus kepada kemungkina­n senjata yang digunakan suspek adalah senapang buatan sendiri atau dikenali sebagai bakakuk.

“Siasatan masih dijalankan Jabatan Hidupan Liar dan memang ada tiga kesan tembakan (ditemui pada bangkai gajah).

“Polis siasat kemungkina­n jika suspek guna bakakuk untuk tembak gajah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Peluru jenis ‘slug’

Selasa lalu, bangkai gajah jantan dengan ketinggian 2.7 meter itu ditemui pekerja ladang, sebelum memaklumka­n perkara itu kepada Jabatan Hidupan Liar.

Bedah siasat terhadap haiwan itu kemudian menemui tiga peluru jenis ‘slug’ dipercayai menggunaka­n senapang patah dan gajah dipercayai mati dalam tempoh 48 jam sebelum ia dijumpai.

Sebelum ini, Ramli pernah memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyimpan bakakuk kerana penyimpana­n dan pemilikan senjata tidak berlesen itu adalah haram mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Kes pembunuhan gajah terbabit adalah yang terbaru di negeri ini selepas dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripada dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatka­n gadingnya, ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatang­an, September lalu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia