Berita Harian

‘Komunggi’ penawar pelbagai penyakit

Buah unik menyerupai seketul batu dijual RM20 sekilogram

- Oleh Poliana Ronnie Sidom

Setiap tahun, antara Mac hingga November, pengunjung pasar tani di bandar Sandakan boleh menemui buah unik menyerupai seketul batu sebesar syiling 20 sen yang didakwa mampu mengubati pelbagai penyakit.

Buah unik dipanggil ‘komunggi’ dalam bahasa Bajau itu dijual sekumpulan wanita dari Pulau Nunuyan, kirakira 20 batu nautika dari sini dengan harga RM20 sekilogram.

Ia adalah buah sejenis tumbuhan renek dikenali penduduk tempatan sebagai pokok ‘mata ayam’ atau nama saintifikn­ya, Ardisia crispa yang biasanya tumbuh di hutan sekunder atau pantai.

Pokok ‘komunggi’ tumbuh liar di kawasan bakau Pulau Nunuyan, tetapi buahnya cuma boleh diambil apabila luruh dan ketika cuaca panas bagi mengelak ancaman ular yang menjadikan pokok terbabit sebagai habitat.

Peniaga, Faridah Kalus, 55, berkata mereka menjual buah berkenaan sejak tiga tahun lalu kerana ada permintaan termasuk pengunjung dari Semenanjun­g dan Singapura yang mendakwa mampu mengubati pelbagai jenis penyakit terutama batuk.

Ubati selsema

“Nenek moyang kami dulu memang guna buah ini untuk mengubati selsema atau untuk menambah tenaga, tetapi kami tidak pernah jual di pasar sehingga ada seorang warga Singapura datang ke daerah ini mencari buah ‘komunggi’ tiga tahun lalu.

“Selepas itu, kami mula menjualnya dan ramai juga dari luar daerah seperti Kinabatang­an datang membeli,” katanya kepada BH.

Kakak Faridah, Nani, 60, berkata pada waktu tertentu, ada pelanggan membeli sehingga 50 kilogram buah ‘komunggi’ untuk dibawa pulang ke Semenanjun­g.

“Buah ini tahan lama dan boleh disimpan sehingga bertahun, sebab itu ada pelanggan yang membeli dalam kuantiti banyak.

“Selain batuk dan selsema, buah ini kononnya memiliki pelbagai khasiat,” katanya.

Selain buah ‘komunggi’, pelbagai jenis produk laut dijual kumpulan wanita terbabit seperti kelapa dan kerangkera­ngan di pasar tani berkenaan yang beroperasi pada setiap Ahad di Jalan Dua, di sini.

 ?? [ FOTO POLIANA RONNIE SIDOM/BH ] ?? Faridah menunjukka­n buah 'komunggi' yang dijual di pasar tani di Sandakan.
[ FOTO POLIANA RONNIE SIDOM/BH ] Faridah menunjukka­n buah 'komunggi' yang dijual di pasar tani di Sandakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia