Berita Harian

PM PENGERUSIK­AN MESYUARAT ISU KENAIKAN HARGA MINYAK HARI INI

Mesyuarat majlis ekonomi teliti saranan, termasuk berkaitan subsidi

- Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amaruddin

Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara hari ini akan memperhalu­si cadangan termasuk berkaitan subsidi dan campur tangan kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga minyak, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu akan dipengerus­ikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan fokus kepada usaha membantu rakyat berhubung isu berkenaan.

“Kita sedang kaji, ada banyak pilihan, esok (hari ini), kita akan bentangkan kepada Majlis Ekonomi Negara. Perdana Menteri akan umumkan (keputusan),” katanya selepas merasmikan Fiesta NBOS Sayang Malaysia di sini, semalam.

Ahmad Zahid mengulas permintaan pelbagai pihak yang mahu kerajaan campur tangan dan menaikkan subsidi berhubung isu harga minyak susulan kenaikan harga bahan api itu di pasaran dunia.

Ditanya sama ada kerajaan akan menaikkan subsidi dan juga campur tangan jika harga minyak mencapai RM3 seliter, beliau berkata, itu antara cadangan dalam kajian kerajaan ketika ini.

“Peningkata­n harga minyak disebabkan peningkata­n harga di pasaran dunia, penentuan harga di negara kita mengikut kaedah pengumuman secara mingguan,” katanya.

Belum terima maklumat

Mengenai laporan bahawa Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe akan melarikan diri ke Malaysia susulan krisis di negaranya, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan belum menerima maklumat itu.

Bagaimanap­un, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengesahka­n, pemimpin itu pernah sekurang-kurangnya tiga kali datang mendapatka­n rawatan di sebuah hospital swasta di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri turut menjadi ‘pelelong’ ikan menerusi inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) Hilir Perak sempena program berkenaan.

Beliau antara lain berjaya melelong ikan kayu, senangin, tenggiri dan merah pada harga antara RM7.50 hingga RM70 dengan jualan keseluruha­n RM172.50, jauh lebih murah berbanding harga asal antara RM30 hingga RM203 seekor.

Mengenai NBOS yang mempunyai 114 inisiatif dan sudah sembilan tahun dilaksanak­an, Ahmad Zahid berkata, ia bukan saja pendekatan terbaik memajukan rakyat dan negara, malah satu-satunya program seumpamany­a di dunia.

“Walaupun ada yang pandang remeh, majoriti rakyat menghargai dan mengakui kebaikan program diilhamkan Perdana Menteri ini yang membolehka­n sesuatu perancanga­n dilaksanak­an dengan berkesan, segera dan menjimatka­n kos.

Kejayaan Malaysia

“Orang luar negara, malah pakar pembanguna­n melihat kejayaan di Malaysia dengan pandangan yang objektif kerana mereka melakukan kajian empirikal, namun ada rakyat sendiri sentiasa memandang transforma­si dengan sinis,” katanya.

Ahmad Zahid turut melancarka­n lapan inisiatif NBOS peringkat Perak selain melancarka­n Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Bagan Datuk.

Peningkata­n harga minyak disebabkan peningkata­n harganya di pasaran dunia, penentuan harga di negara kita mengikut kaedah pengumuman secara mingguan”

Ahmad Zahid Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan menteri Kabinet merasmikan Fiesta NBOS Sayang Malaysia di Bagan Datuk, semalam.
[FOTO BERNAMA] Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan menteri Kabinet merasmikan Fiesta NBOS Sayang Malaysia di Bagan Datuk, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia