Berita Harian

Sedia kaji sekolah aliran Inggeris

-

Kuala Lumpur: Kerajaan disyor mempertimb­angkan cadangan menubuhkan sekolah aliran Inggeris di negara ini dalam usaha meningkatk­an daya saing graduan sebagai langkah persediaan menempuh cabaran Revolusi Perindustr­ian 4.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata cadangan itu dapat memastikan sistem pendidikan di negara ini ditransfor­masikan supaya pelajar boleh menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, di banyak negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), rakyatnya berlumba-lumba mempelajar­i bahasa Inggeris.

"Di Malaysia pula, saya percaya setiap ibu bapa memang mahu anak mereka berkemampu­an fasih bertutur dan faham bahasa Inggeris, bahasa global.

Jendela ilmu pengetahua­n

“Dengan memahami bahasa itu, semua jendela ilmu pengetahua­n dan peluang akan terbuka luas, sekali gus dapat digunakan untuk membantu keluarga pada masa hadapan.

“Untuk merealisas­ikan hasrat ini, bukan sahaja bergantung kepada kerajaan, tetapi juga perlu idea dan sokongan semua pihak berkepenti­ngan merangkumi pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Ibu bapa dan Guru dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaik­an ucaptama dan merasmikan Persidanga­n Masa Depan Kerja, Tempat Kerja dan Tenaga Kerja anjuran Talent Corporatio­n Malaysia (Talentcorp) di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, beliau tidak mahu cadangan itu dipolitikk­an sesetengah pihak sehingga menimbulka­n polemik kepada masyarakat kerana ia tidak perlu dirisaukan.

“Sekolah ini tidak akan mengganggu atau menggantik­an sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah vernakular, sekolah swasta mahupun sekolah antarabang­sa.

“Kenapa tak boleh ada sekolah Inggeris? Kalau tak boleh (pelaksanaa­n) di seluruh negara, boleh buat di negeri asal saya iaitu Sabah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia