Berita Harian

99 pelajar keracunan selepas jamuan hujung tahun

PKD Muar buat siasatan, arah dapur asrama Kolej Vokasional ditutup tiga hari

- Oleh Badrul Kamal Zakaria

Seramai 99 pelajar Kolej Vokasional Muar di sini, dipercayai keracunan makanan selepas menikmati makanan laut pada majlis akhir sesi kolej berkenaan, petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Alam Sekitar, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Maharani berkaitan kes pada jam 3.30 petang berkenaan.

“Semalam (kelmarin), kolej itu membuat majlis makan untuk pelajar sempena minggu akhir persekolah­an. Jamuan berasaskan makanan laut shell out seperti kupang, udang, ketam dengan sambal disediakan dapur asrama kolej yang sama.

“Bagaimanap­un, beberapa pelajar kemudian mengadu sakit dan terdapat beberapa simptom keracunan seperti sakit perut, cirit-birit, loya, kejang perut, pening, muntah dan demam,” katanya di sini, semalam.

Lawatan susulan

Ayub berkata, berikutan itu, 30 pelajar mendapatka­n rawatan di Klinik Kesihatan Maharani sejurus kejadian, manakala 39 pelajar lagi dikesan mengalami masalah sama ketika siasatan lanjut oleh pasukan kesihatan di sekolah.

“Seramai 30 pelajar lagi mendapat rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar kira-kira jam 12 tengah malam semalam (kelmarin). Ia menjadikan jumlah keseluruha­n pelajar yang disyaki mengalami keracunan seramai 99 orang.

“PKD Muar membuat siasatan menyeluruh termasuk mengambil sampel makanan berkaitan dan lain-lain untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata, dapur asrama kolej itu diarah ditutup tiga hari sehingga esok (hari ini) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC).

“Pengendali sewajarnya menjaga kebersihan dan perlu menjalani latihan. Pelajar juga dinasihatk­an sentiasa menjaga kebersihan diri. Seramai 380 guru dan pelajar di kolej mungkin terdedah dengan kes ini,” katanya.

PKD Muar buat siasatan menyeluruh termasuk mengambil sampel makanan berkaitan untuk dianalisis” Ayub Rahmat, EXCO Johor

 ?? [FOTO ADI SAFRI/BH] ?? Pelajar Kolej Vokasional Muar keracunan makanan selepas jamuan shell out.
[FOTO ADI SAFRI/BH] Pelajar Kolej Vokasional Muar keracunan makanan selepas jamuan shell out.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia