Berita Harian

Tiga anggota polis didakwa terima rasuah tahun lalu

-

Johor Bahru: Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada orang awam, tahun lalu.

Lans Koperal Azizan Mohamad, 30; Lans Koperal Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26, dan Lans Koperal Abdul Manan Abdul Satar, 33, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mereka yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosik­al (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam didakwa meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun.

Lepaskan kesalahan dadah

Ia sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah bank di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, di sini, jam 1 pagi, 9 Oktober tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tiga anggota polis itu didakwa menerima suapan wang tunai RM2,250 daripada orang sama sebagai dorongan sama di Jalan Teratai 18, Taman Johor Jaya, di sini pada jam 4.50 pagi, tarikh sama.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalik­an Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan, manakala Azizan diwakili peguam, Rosli Kamaruddin dan dua lagi tertuduh diwakili peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Mahkamah membenarka­n setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap minggu pertama sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Januari 2018.

Ketika dibawa keluar dari bilik perbicaraa­n mahkamah, seorang daripada tertuduh mengeluark­an kata-kata kesat dan menunjukka­n isyarat lucah kepada petugas media.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia