Jabatan Perangkaan lancar MPS terbitan pertama
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Matriks Perakaunan Sosial (MPS), iaitu rangka kerja terperinci yang memperihalkan data komprehensif bagi suatu tahun tertentu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata MPS mengintegrasikan statistik ekonomi dan sosial serta menggambarkan hubungan antara institusi di Malaysia, iaitu isi rumah, perbadanan kewangan dan bukan kewangan serta negara lain.
“Struktur seimbang MPS membekalkan input penting untuk agihan pendapatan dan perbelanjaan dalam analisis fiskal.
“MPS pada peringkat makro memberi gambaran mengenai aliran ekonomi Malaysia dalam satu tahun.
“Manakala, pada peringkat mikro pula ia memberi tumpuan kepada agihan pendapatan bagi isi rumah, terutama pampasan pekerja mengikut strata, kategori pendapatan, kategori etnik dan jantina,” katanya pada majlis taklimat ekonomi suku ketiga 2017 dan pelancaran MPS di Putrajaya, semalam.
Guna statistik ekonomi, sosial 2014
MPS berkenaan adalah terbitan pertama yang diumumkan kepada umum dan pengumpulan data berkenaan menggunakan statistik ekonomi dan sosial pada 2014.
Beliau berkata, bagi penerbitan data MPS, kerajaan menyasarkan untuk menerbitkan secara berkala iaitu dua kali dalam tempoh lima tahun.
“Proses pengumpulan data membabitkan pelbagai sumber, jabatan dan agensi yang memerlukan tempoh lama untuk diana- lisis serta diintegrasikan.
“Bagi terbitan kedua MPS, ia akan dikeluarkan pada 2019 yang menggunakan data daripada 2016,” katanya.
Katanya, berdasarkan data MPS berkenaan, rakyat Malaysia hanya menyimpan sebanyak RM6 bilion, iaitu 0.9 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan sepanjang 2014.
“Ia menunjukkan trend menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap tidak memuaskan.
“Jika sebelum ini, rakyat Malaysia lebih suka menyimpan tetapi kini mereka lebih suka menggunakan wang yang ada untuk berbelanja seperti membeli kereta baharu atau telefon bimbit.
Jumlah pendapatan
“Jika gaji belum masuk sekali pun, mereka akan menggunakan kredit kad terlebih dulu untuk berbelanja,” katanya.
Pada 2014, statistik daripada MPS turut menunjukkan jumlah pendapatan isi rumah adalah RM638.8 bilion dengan pampasan pekerja dan keuntungan perniagaan yang tidak diperbadankan adalah penyumbang utama, iaitu 72.3 peratus (RM461.6 bilion).
Daripada jumlah pampasan pekerja RM365.3 bilion bagi warga negara, sebahagian besarnya disumbangkan oleh isi rumah di kawasan bandar dengan nilai RM295.9 bilion (81 peratus) berbanding isi rumah luar bandar, iaitu RM69.4 bilion (19 peratus).
Bagi agihan mengikut julat pendapatan bersih, pampasan pekerja bagi kategori pendapatan tertinggi, pertengahan dan terendah masing-masing adalah RM92.5 bilion, RM155.0 bilion dan RM117.8 bilion.